405 views 3 mins 0 comments

Samsung Lancar Bilik Kuliah Pintar Sokong Pembelajaran Digital FKPM UiTM

In Berita, Kampus
June 26, 2025
Jae Yeol (tengah) bersama barisan pengurusan UiTM dan FKPM bergambar kenangan sempena pelancaran Samsung Galaxy Campus di UiTM Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM– Syarikat elektronik terkemuka, Samsung melancarkan sebuah bilik kuliah pintar dikenali Samsung Galaxy Campus di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai sebahagian daripada usahanya dalam menyokong pembelajaran berasaskan teknologi digital di institusi pengajian tinggi (IPT).

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Industri, Komuniti & Jaringan Alumni) UiTM, Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah bersama Pengarah SME, Dato’ Roh Jae Yeol di Aras 13, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Dr Jamalunlaili dalam ucapannya menyifatkan usaha kewujudan Samsung Galaxy Campus ini sebagai satu langkah tepat dalam memperkukuh sistem pembelajaran berasaskan teknologi, terutama dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang hari ini.

“Usaha seperti ini sangat penting dalam zaman AI sekarang dan teknologi seperti Galaxy Campus ini memberi peluang untuk pelajar dan tenaga pengajar bergerak seiring dengan keperluan digital masa kini dan inisiatif ini mungkin boleh terus diperluas ke fakulti lain,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Dekan FKPM Prof Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman berkata, kerjasama ini bukan sekadar tajaan semata-mata tetapi merupakan kerjasama strategik yang memberi manfaat secara terus kepada mahasiswa.

“Kerjasama ini merupakan satu hubungan strategik yang merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.

“Kemudahan ini memberi pendedahan langsung kepada pelajar terhadap kemahiran dunia sebenar yang melangkaui teori dalam buku teks. Pendekatan ini memastikan pelajar memperoleh kemahiran praktikal dan terkini yang relevan dengan keperluan industri media yang sentiasa mengalami perubahan dan perkembangan pesat,” tambah beliau.

Jae Yeol (tengah) mendengar perkongsian daripada pempengaruh media sosial yang hadir sempena pelancaran Samsung Galaxy Campus bersama barisan pengurusan UiTM dan FKPM.

Dalam pada itu, pengarah program, Dr Anuar Ali menegaskan bahawa kerjasama tersebut akan menjadi projek berterusan bersama Samsung Malaysia.

“Pihak fakulti akan menyusun pelbagai jenis pembelajaran dan perkongsian ilmu, bukan hanya untuk pelajar, tetapi juga untuk pensyarah, pengkaji dan pelatih di UiTM,” katanya.

“Samsung Malaysia juga akan membekalkan latihan spesifik berkaitan penggunaan peranti dan teknologi yang disediakan supaya ia benar-benar menjadi medium pembelajaran abad ke-21, termasuk pengalaman menggunakan pelbagai peranti secara serentak,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada agenda pelancaran, Samsung Malaysia turut mengadakan sesi demonstrasi teknologi Galaxy AI yang menarik perhatian para peserta dengan paparan keupayaan kecerdasan buatan dalam menyokong pembelajaran lebih interaktif dan efisien.

Samsung Galaxy Campus dilengkapi dengan peranti mudah alih terkini dan infrastruktur digital lengkap yang direka khusus untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran dalam bidang seperti kewartawanan mudah alih (mobile journalism), penciptaan kandungan, penceritaan interaktif dan komunikasi strategik.

Samsung Galaxy Campus menjadi simbol komitmen bersama UiTM dan Samsung Malaysia dalam memperkukuh pendidikan digital dan melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia media masa depan.

Noel Entili
/ Published posts: 3

Bukan Alat Propaganda, Tapi Tangan Yang Menulis Fakta.