360 views 2 mins 0 comments

Memperkasa Komuniti Autisme Melalui Inisiatif Autism Cafe Project

In Bisnes
June 29, 2025
Adli (kanan) bersama anaknya, Luqman (kiri), bersama seorang lagi individu autistik (tengah) mengadakan jualan rutin mereka di lobi Cititel Hotel, Mid Valley. (FOTO: Adli Yahya)

SHAH ALAM – Autism Cafe Project (ACP) muncul sebagai ruang inklusif di mana individu autisme bukan sahaja diterima, malah diraikan seperti individu lain dalam masyarakat.

Pengasas Autism Cafe Project (ACP), Adli Yahya, berkata projek ini dilaksanakan bagi membantu individu yang mempunyai spektrum autisme dengan memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

Beroperasi di Bukit Jelutong, Shah Alam, inisiatif ini turut membuka ruang kepada penghidap autisme untuk mengetengahkan bakat dan kemahiran mereka.

“Sejak penubuhan kami dari 2016, kami sudah pernah melatih lebih daripada 100 orang penghidap autisme dalam memberi pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka,” katanya.

“Salah seorang daripada mereka adalah anak saya sendiri, Luqman Shariff, yang juga merupakan penghidap autisme,” ujarnya lagi.

ACP menawarkan jualan seperti biskut, penyediaan makanan katering, serta gelang hasil usaha individu autistik sendiri.

Selain itu, ACP juga banyak menjalinkan kerjasama dengan syarikat seperti Baker Hughes Sdn. Bhd., Uncle Roger, dan Thermomix.

Namun, bagi Adli penubuhan ACP ini jauh membawa maksud yang lebih mendalam.

Adli, yang berhenti sebagai pegawai eksekutif Standard Chartered pada Disember 2016, berkata bahawa kebimbangan terhadap masa depan anaknya, Luqman turut menjadi sebab dan inspirasi di sebalik penubuhan ACP.

“Sebagai seorang bapa yang mempunyai anak autistik, sudah pasti kewajipan saya untuk menyediakan Luqman dengan kemahiran yang membolehkannya berdikari,” jelasnya.

“Bukan untuk Luqman sahaja, malah harapan saya agar semua penghidap autisme yang bekerja di sini dapat pergi ke dunia luar dengan kemahiran yang kami pupuk di sini,” katanya lagi.

Adli memaklumkan bahawa perancangannya pada masa akan datang adalah untuk membuka satu lagi cawangan dengan konsep dan objektif yang sama di Kuching, Sarawak.

Katanya lagi, beliau akan bertemu dengan ibu bapa kepada penghidap autisme di sana serta meninjau lokasi yang bersesuaian untuk pembukaan cawangan baharu tersebut.

Beliau juga menyatakan hasratnya membuka kafe “dine-in” pada tahun ini oleh kerana permintaan yang tinggi dari orang ramai.

Haikal Azim
/ Published posts: 0

Menyalurkan Maklumat Tepat, Beretika Dan Berintegriti Kepada Masyarakat.