287 views 49 secs 0 comments

ChatGPT Bantu Anak Jakarta Hasilkan Projek Permainan Unik 

In Global
November 30, 2025
Able (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat kawalan permainan yang dibinanya kepada ibu saudaranya. (Foto: PiNews)

JAKARTA, Indonesia — Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mencuri perhatian ramai selepas berjaya membina alat kawalan permainan buatan sendiri menggunakan bahan harian dengan bantuan penuh aplikasi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT.

Kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Able, muncul dalam sebuah video yang tular di Instagram. 

Video tersebut dimuat naik di platform tersebut oleh ibu saudaranya, @priskila.rumondor sedang memegang alat kawalan permainan yang dihasilkan menggunakanan kadbod oleh anak saudaranya.

Video tersebut memaparkan Able menggunakan ChatGPT untuk mendapatkan panduan, langkah demi langkah. 

Bermula daripada memahami sistem input, menyusun wayar, sehinggalah penyusunan butang-butang yang berfungsi menghidupkan alat kawalan tersebut. 

Walaupun tidak mempunyai pendidikan teknikal formal, kanak-kanak tersebut menggunakan logik, kreativiti dan ketekunan untuk menyiapkan projek tersebut.

Dia mendapat pujian ramai pengguna media sosial atas kebijaksanaan dan keberaniannya. 

Malah ada yang menganggapnya sebagai “bakal perintis teknologi masa depan.” 

Ada juga melihat kejayaan tersebut sebagai contoh bagaimana ChatGPT boleh menjadi alat pembelajaran yang berguna apabila digunakan secara bijak.

Keluarganya turut mendapat perhatian apabila warganet memuji sokongan ibu saudaranya yang memberi ruang kepada kanak-kanak itu untuk ‘bereksperimen’.

 “Bayangkan jika semua anak diberi peluang seperti ini,” tulis salah seorang pengguna media sosial.

Pencapaian Able membuktikan bahawa AI kini bukan lagi alat untuk golongan dewasa atau profesional sahaja, malah kanak-kanak juga mampu memanfaatkannya untuk mencipta dan belajar, atas bimbingan yang betul. – Pinvest