SHAH ALAM – Program pengantarabangsaan ke Timur Tengah dilihat berjaya meningkatkan kemahiran kepimpinan dan kerohanian mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam mendepani cabaran semasa.
Program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kediaman Teratai mendedahkan peserta kepada pelbagai aktiviti seperti dialog bersama Konsul Jeneral Malaysia di Madinah, lawatan akademik ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah dan juga menunaikan ibadah umrah pada masa yang sama.
Pengetua, Izuan Izzaidi Azmi berkata, program ini memberikan pendedahan berguna kepada pelajar tentang aspek kepimpinan, pengurusan program dan pembangunan rohani.
“Program ini memberi pendedahan berskala antarabangsa kepada pelajar dengan mengadakan sesi perkongsian bersama pelajar luar negara serta penghayatan sejarah peradaban Islam.
“Lawatan ini juga membentuk jati diri kepimpinan dengan meneladani cara kepimpinan Rasulullah SAW,” ujarnya.
Kunjungan sebelas hari ke Arab Saudi itu melibatkan 12 orang delegasi terdiri daripada ahli Jawatankuasa JPK Teratai dan Izuan Izzaidi yang bertindak sebagai pegawai pengiring.
Program “International Future Leaders Program @ The Middle East: Learning From Islamic Civilization & The History Of The Prophets” memberi fokus terhadap pembangunan kempimpinan pelajar berteraskan nilai Islam melalui pendekatan akademik.

Menurut Pengarah program, Ahmad Mustaqim Ishak, program ini dirangka bagi melahirkan pemimpin muda pada masa hadapan yang berwawasan tinggi, berintegriti, serta berteraskan nilai-nilai Islam sejagat.
“Lawatan ini memberi satu pengalaman menyeluruh kepada peserta mengenai bagaimana pentingnya kepimpinan, akademik dan kerohanian dalam diri kami (pelajar).
“Nilai-nilai ini dalam masa sama akan membantu membentuk pelajar menjadi seorang pemimpin yang mampu memimpin dengan berteraskan aspek islamiah pada masa hadapan,” ujarnya.
Inisiatif JPK Kolej Teratai dalam mengumpulkan dana tambahan bagi menampung kos pembelanjaan menunaikan umrah mendapat pujian daripada Izzuan Izzaidi.
“Alhamdulillah, dari bulan Mac sehingga November, mereka berhasil mengumpulkan dana.
“Ada juga sumbangan daripada individu dan perusahaan dan JPK juga mengasingkan sedikit wang untuk membeli tiket penerbangan pada bulan September lalu,” katanya.
Sepanjang lawatan, pengisian program tersebut diisi dengan lawatan ke Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Universiti Islam Madinah, serta berpeluang ziarah dan menunaikan ibadah umrah di Makkah. Penganjuran program pengantarabangsaan ini dilihat membuka ruang kepada pelajar akan nilai kepimpinan, disiplin dan kekuatan rohani dalam membentuk seorang pemimpin pada masa hadapan.
