SHAH ALAM – Bermula dengan sekadar menghias ruang kecil di kediamannya dengan pepohon hijau, siapa sangka hobi seorang graduan Diploma Sains ini berkembang daripada minat terhadap tanaman kepada pemeliharaan haiwan berbisa berkaki lapan.
Bagi Shafizam Hakimi, beliau bukan sahaja mengumpul tanaman hiasan dan araknida seperti tarantula serta kala jengking, malah menjadikan minat tersebut sebagai sumber pendapatan sepenuh masa.
Menurut Shafizam, minat itu bermula dengan pemeliharaan ikan laga ketika menuntut ilmu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah. Namun, pada 2022, beliau beralih kepada tanaman hiasan selepas koleksi ikannya musnah dihanyut banjir besar.

Namun, sifat tanaman yang statik membuatkan beliau mula berasa bosan kerana tiada interaksi yang boleh dilakukan. Keinginan untuk mencari pengalaman berbeza mendorong Shafizam beralih kepada pemeliharaan haiwan, bermula dengan tarantula sebelum beralih kepada kala jengking.
Walaupun begitu, minat terhadap haiwan berbisa tidak terlepas daripada pandangan skeptikal segelintir masyarakat, terutamanya golongan berumur yang sering mengaitkannya dengan unsur mistik.
“Masih terdapat pihak yang mempersoalkan tindakan memelihara haiwan ini kerana mereka menganggap binatang berbisa seperti tarantula dan kala jengking sebagai entiti jelmaan jin.
“Justeru, saya mengambil inisiatif untuk mengubah persepsi itu dengan berkongsi maklumat dan pendidikan di media sosial bagi membantu masyarakat memahami cara pengendalian haiwan tersebut,” ujarnya.

Berdasarkan pengalamannya, haiwan berbisa yang kadangkala memasuki kawasan kejiranan atau rumah lazimnya hanyalah haiwan yang tersesat.
“Ia tidak akan menyengat secara tiba-tiba walaupun diletakkan di atas tangan kerana sifat semula jadi spesies ini lebih ke arah mempertahankan diri dan bukannya bersifat agresif,” tambahnya.
Bercakap mengenai cabaran penjagaan, Shafizam mengakui kala jengking jauh lebih unik dan mencabar berbanding tarantula kerana komuniti pencinta serta pengumpul spesies itu di negara ini masih kecil.
Bagi menonjolkan sisi jinak peliharaan itu, beliau sering memberikan nama panggilan peribadi seperti ‘Spiny’ kepada kala jengking jenis Heterometrus spinifer miliknya.

Selain memelihara haiwan berbisa, Shafizam turut menyertai pameran fizikal di sekitar Lembah Klang bagi memasarkan koleksi tanaman hiasan serta memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang haiwan berbisa secara percuma.
Di sebalik kesibukannya itu, beliau mengakui pasaran tanaman hiasan terus menjadi penyumbang pendapatan utamanya walaupun sering dikaitkan dengan harga ‘kayangan’ iaitu dijual dengan harga yang mahal susulan kuantitinya yang terhad dan sukar diperolehi di pasaran tempatan.
“Peminat tegar dan pengumpul lebih mengetahui bahawa nilai itu terletak pada tahap kesukaran untuk memperoleh spesies tersebut serta proses kacukan yang rumit,” katanya.
Bagi perancangan masa hadapan, Shafizam merancang untuk terus memberi tumpuan kepada pemeliharaan haiwan berbisa dan tanaman hiasan bagi memastikan kelangsungan pasaran bagi komuniti peminat serta pengumpul.
