UiTM – Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seharusnya dilihat sebagai alat memperkasa bidang kewartawanan dan bukannya ancaman kepada masa depan bidang tertsebut di negara ini.
Menurut Editor Multiplatform Astro AWANI, Harits Asyraf Hasnan, teknologi AI telah mengubah landskap pemberitaan dan meningkatkan keupayaan syarikat media dalam menyediakan kandungan berkualiti kepada pembaca.
“Penyesuaian dan pengadaptasian terhadap teknologi AI bukan sekadar keperluan, tetapi merupakan peluang untuk wartawan menjadi lebih kompetitif.
“Ia harus dianggap sebagai hadiah yang dapat membantu wartawan meningkatkan kualiti kandungan dan mengoptimumkan kerja mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi penal dalam Forum Literasi Media: Kuasa Media dan Kewajipan Literasi anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Shah Alam di sini, baru-baru ini.
Program tersebut adalah sebahagian daripada pengisian acara Syarahan Menteri oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Harits Asyraf berkata, kemunculan teknologi AI turut memberikan kelebihan kepada operasi media tradisional yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada keupayaan otak manusia dalam memproses sesuatu maklumat yang diperolehi.
“Dahulu, wartawan dikehendaki turun ke lapangan untuk mengumpulkan maklumat, tetapi dengan kemajuan teknologi hari ini, laporan berita dapat disokong dengan data yang tepat dan statistik yang terkini.
“Bagaimanapun, dalam mengendalikan teknologi seperti ini, wartawan perlu lebih bertanggungjawab dan memastikan etika kewartawanan tetap dijaga,” tegasnya.
