Bidan moden bukanlah satu kerjaya yang baru tetapi ia semakin mendapat sambutan dan dikenali oleh beberapa masyarakat dan bakal ibu yang ingin melahirkan cahaya mata.
Sebelum cahaya mata lahir, sudah pasti ramai bakal ibu bapa membuat persedian dan perancangan untuk menyambut bayi mereka termasuk persediaan untuk urusan berpantang.
Bagi Hairulnissa Mohd Zuki, 35, beliau yang dulunya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, kini menjadikan bidan moden atau Confinement Lady (CL) sebagai kerjaya utama yang mampu mencecah pendapatan RM 10 000 sebulan.
Pengusaha Anissa Confinement Care itu juga berkongsi, pada mulanya beliau hanya menjual lauk pantang di rumah sahaja, tetapi atas sebab minat dan kemahiran yang sedia ada, beliau meneruskan dengan mencuba kemahirannya itu pada pelanggan.
“Saya telah menerima lebih daripada 10 hingga 15 orang ibu berpantang dalam sebulan dan rata-rata mereka mengambil pakej berpantang 7 sehingga 14 hari,” katanya.
Perkhidmatan mengurut yang dilakukan oleh bidan moden kepada ibu berpantang.
Kualiti penjagaan yang rapi terhadap ibu dan bayi dan penggunaan barang yang terhad juga adalah salah satu sebab kos perkhidmatan bidan moden menjadi tinggi dan sekaligus pendapatan seorang bidan mampu menandingi kerjaya lain.
“Pakej pantang yang paling minimum adalah RM 900 manakala pakej yang paling maximum yang ditawarkan di Anissa Confinement Care adalah RM 9500,” katanya.
Anissa juga berkata beliau sangat menggalakkan suri rumah atau anak muda yang sedang menganggur untuk mencuba sebagai bidan moden dan dijadikan pendapatan tetap asalkan mempunyai minat dan ilmu.
Kebanyakkan staff beliau sekarang, merupakan salah satu pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kini kesemua stafnya itu telah memulakan pekerjaan yang baharu menjadi salah seorang staf di Anissa Confinement Care.
Bekas suri rumah itu kini telah berjaya membuka perniagaannya sendiri sejak tahun 2016 dan kini telah dikenali oleh ramai penduduk di Seksyen 25, Shah Alam.
