398 views 59 secs 0 comments

Tunku Azizah terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UiTM

In Berita, Kampus
November 13, 2024
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Ijazah Doktor Kehormat Seni Kreatif daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Kredit: Facebook Bahagian Komunikasi Korporat UiTM

SHAH ALAM – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Seni Kreatif oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.

Ijazah Doktor Kehormat Seni Kreatif tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong merangkap Canselor UiTM, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar, pada sidang khas hari pertama Istiadat Konvokesyen Ke-100 UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, kampus induk UiTM Shah Alam.

Tunku Azizah menerima anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan sumbangan dan kecemerlangan baginda dalam memperkasa dan memartabatkan seni warisan budaya khususnya dalam bidang seni tekstil dan seni kraf tradisional kepada negara.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata sumbangan signifikan baginda dalam memasyurkan Kain Tenun Pahang Diraja telah diiktiraf melalui Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia di India, sekaligus mengangkat seni warisan negara ke peringkat antarabangsa.

“Pada tahun 2006, Tenun Pahang telah mendapat pengiktirafan diraja dan kini dikenali dengan nama Tenun Pahang Diraja sekaligus mengangkat martabat seni tekstil ini pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, sumbangan Tunku Azizah telah terbukti dengan penubuhan Institusi Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Afzan yang terletak di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan, Pahang.

Institusi tersebut membuka ruang kepada generasi muda untuk mencintai dan memahami ilmu tentang seni tenunan sebagai satu warisan ulung.

Penganugerah tersebut turut disaksikan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Seramai 25,957 graduan bakal menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang pada istiadat konvokesyen kali ke-100 ini.

Alia Chahidan
/ Published posts: 2

Mengungkap Fakta Untuk Mencorak Perspektif Baharu