SHAH ALAM– Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memperkukuh peranannya dalam membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa menerusi program kecergasan komuniti, Fitness Attack.
Program anjuran pelajar Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi ini memberi fokus kepada pembangunan kesihatan fizikal dan mental belia seiring dengan misi fakulti dalam membudayakan kecergasan sebagai satu gaya hidup.
Menurut ketua program Muhammad Amier Farish Yuzainie, usaha ini membuktikan bahawa mahasiswa juga berperanan penting dalam mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Pendekatan sukan dan kecergasan terbukti berkesan dalam membantu belia kekal sihat dan aktif, sama pentingnya dengan kesedaran kesihatan lain,” katanya.
Amier berkata, penglibatan aktif peserta membuktikan bahawa inisiatif berteraskan sukan dan rekreasi masih relevan dalam menarik minat belia terhadap amalan gaya hidup sihat.
Tambahnya, usaha seperti ini juga mampu memberi kesan jangka panjang dalam membentuk generasi belia yang lebih seimbang dari segi mental, emosi dan fizikal.
“Matlamat program ini jelas untuk melihat mahasiswa bukan saja cemerlang akademik tetapi juga sihat, aktif dan peka dengan keperluan kesihatan diri dan komuniti,” katanya.
Program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu sukan secara langsung, selain menyemai semangat kesukarelawanan melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.
Pelbagai aktiviti kecergasan berintensiti tinggi seperti aerobik, Zumba dan Tabata dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mengekalkan tahap kecergasan tubuh badan.
FSR berharap pendekatan tersebut menjadi model kepada fakulti lain dalam merangka program pembangunan mahasiswa yang lebih holistik dan berimpak tinggi.
