UiTM – Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Muhammad Haziq Sabri, 21, dipilih sebagai Yang DiPertua MPP Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sesi 2024/2025, pada Sabtu.
Pemilihan sebulat suara pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam itu turut menjadi pencapaian penting kepada FKPM yang kali terakhir menerajui organisasi pelajar tersebut melalui Mohd Amyzaddin Raya pada sesi 2001/2002.
Terdahulu, Haziq diumum pemenang pada pemilihan MPP peringkat fakulti selepas memperoleh 491 undi, mengatasi empat calon lain dengan majoriti 53 undian.
Seorang lagi calon, Nurul Hikmah Rumaini, 22, memperolehi 438 undi, sekaligus melayakkannya mengisi satu lagi slot perwakilan MPP FKPM.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Fakulti (JPF) FKPM, Muhammad Aidi Syaffri Mohd Idham, melahirkan rasa teruja dengan kejayaan Muhammad Haziq mengisi kerusi nombor satu badan perwakilan pelajar tersebut.
“Selaku individu yang dipertanggungjawabkan dalam mengendali sesi pemilihan MPP di peringkat fakulti, saya berasa sangat bangga ketika menerima perkhabaran mengenai pelantikan Haziq sebagai YDP MPP yang baharu.
“Saya berharap beliau bersedia dalam menjalankan tugas dengan penuh integriti dan ketelusan,” katanya.
Pilihan raya MPP UiTM kampus Shah Alam sesi 2024/2025 menyaksikan seramai 65 orang calon mengambil bahagian di 15 buah fakulti bagi merebut 30 kerusi yang dipertandingkan.
Sebanyak 72.27 peratus penuntut UiTM keluar mengundi pada pemilihan tahun ini, meningkat 0.76 peratus berbanding tahun lalu.
