
Sekumpulan peniaga kecil di Seksyen 6 mengambil pendekatan kreatif apabila menganjurkan acara mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin yang dizalimi rejim Israel melalui penganjuran rumah terbuka raya, baru-baru ini.
Menurut jurucakap penganjur, Abdul Rahim Abdul Rahman, 27, idea tersebut tercetus selepas dia berbincang dengan lima pemilik perniagaaan lain yang melihat potensi penganjuran program tersebut sebagai platform untuk mengajak orang ramai membuat kebajikan.
“Sebelum ini memang kita buat open house setiap tahun, tetapi krisis yang melanda saudara kita di Palestin membuatkan saya tidak senang hati lalu mengambil keputusan untuk menyelitkan peluang bersedekah kepada pengunjung yang hadir.
“Saya berpendapat ia sebagai ‘win-win situation’ kerana selain bersilaturahim dan menghidupkan semula kawasan Seksyen 6 ini, kita juga menyumbang kepada mereka di sana (Gaza),” katanya yang merupakan pemilik perniagaan Slowfire Pizza.
Turut mengambil bahagian adalah Manis by Wildflour, Fais Kitchen, Lasagna Republic, Scent by Las dan Liesa Menhad.
Lebih 300 pengunjung hadir memeriahkan program bertemakan ‘Slowfire & Friends Open House & Palestine Charity Fundraiser’ yang bermula pada 6.00 petang sehingga 10.00 malam di premis Manis by Wildflour.
Menurut Abdul Rahim lagi, pihaknya berjaya mengumpul sebanyak RM1,600, melebihi sasaran awal sebanyak RM1,500 dalam tempoh empat jam hasil sumbangan pengunjung dan rakan peniaga yang mengambil bahagian.
Pengumuman berkaitan jumlah kutipan tersebut turut dimuatnaik di akaun Instagram perniagaannya.
“Apa yang dicapai pada hari ini menunjukkan sokongan rakyat negara ini kepada perjuangan rakyat Palestin masih utuh sehingga hari ini.
“Semua kutipan dana yang disalurkan melalui akaun Slowfire Pizza (Pies N More Enterprise) akan disumbangkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia dan akan dilakukan bersama-sama dengan lima vendor lain yang terlibat bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan sebarang kesilapan,” jelasnya.
Sementara itu, salah seorang vendor yang mengambil bahagian melahirkan rasa teruja dengan penglibatan syarikatnya dalam program amal tersebut.
“Sebenarnya event ini lebih kepada untuk membantu Palestin, selain mengenali antara satu sama lain, kita juga dapat menunjukkan apa yang kita ada dan apa yang orang lain (pengunjung) tawarkan.
“Sebagai pemilik perniagaan, kami bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini berkongsi pahala dan rezeki untuk saudara kita di Gaza,” kata Dzarul Hafiz, 39, peniaga lasagna.

