
SHAH ALAM – Kebiasaannya kebanyakan peserta acara larian mengenakan pakaian sukan yang ringkas dan selesa berikutan faktor cuaca dan jarak larian acara tersebut.
Namun, lain pula kisah dua sahabat, Hamsaton Yousof, 40 dan Nor Izyani Mad Zain, 35 yang memilih busana cosplay setiap kali beraksi di acara kegemaran ramai itu.
Pelbagai tema karakter animasi dan filem telah digayakan mereka sejak hampir tujuh tahun bergelumang dalam dunia “cosplay runner”.
Menurut Hamsaton, sukan larian bukan sekadar hobi sihat, tetapi ruang untuk mengekspresikan diri dengan cara tersendiri, tanpa mengabaikan nilai kesopanan dan keperibadian muslimah.
“Ia memang kena dengan jiwa kami,” kata Hamsaton, yang mula terlibat dalam dunia cosplay pada tahun 2019.
Pandangan sama turut dikongsi rakannya, Nor Izyani yang lebih gemar menonjolkan elemen kebudayaan di dalam setiap kostum yang digayakan.
“Selain nak tunjukkan budaya Melayu pada orang luar, saya nak buktikan berkebaya pun boleh lari dan boleh buat apa saja,” katanya ketika ditemui di Hari Wanita Sedunia (IWDR 2025) yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, setiap kostum yang dipilih akan dibincangkan terlebih dahulu bersama rakan lain yang mempunyai minat sama sebelum digayakan di khalayak ramai.

Sementara itu, Hamsaton pula mengenakan gaun Snow White versi sopan yang diselitkan unsur budaya tempatan seperti batik dan cucuk sanggul sejajar dengan tema ‘Wanita Melayu Terakhir’.
“Saya memang suka yang pelik-pelik. Antara kawan-kawan kami memang saya yang paling pelik.
“Macam hari ni saya tampilkan gaya Snow White gabungan unsur batik sebab kita nak bawa budaya Malaysia,” jelasnya sambil ketawa kecil.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa kos menyediakan kostum yang dipakai mahal memandangkan ia dihiasi dengan pelbagai aksesori.
Hakikatnya, menurut Nor Izyani, semuanya bergantung kemampuan poket dan kreativiti seseorang indidvidu.
“Paling mahal pun RM80 saja. Kami akan mix and match baju sedia ada. Ada yang kami beli dan ada yang kami ubah sendiri sampai jadi macam yang kami pakai sekarang,” jelas Nor Izyani sambil menunjukkan busana kebaya yang dipakainya.
Ditanya tentang cabaran yang dihadapi setiap kali tampil di khalayak ramai, kedua wanita kreatif pantas mengaitkannya dengan persediaan diri dan cuaca.
Tampil berbeza bermakna mereka perlu mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal.
Cuaca panas, kesukaran bernafas itu adalah cabaran yang biasa, tetapi semangat mereka tetap tidak luntur.
Hamsaton berkongsi pengalaman pertamanya memakai kostum Spider Gwen lengkap bertopeng penuh ketika menyertai sebuah larian sejauh 10km.
“Pada ketika itu saya nak cabar diri. Alhamdulillah, berjaya habiskan larian tanpa buka mask,” katanya.
Nor Izyani pula menganggap penampilan awalnya sebagai ninja dan Catwoman menjadi antara ‘trademark’ buat dirinya.
“Memang panas dan semput juga, tapi bila kita selesa dan suka, kita teruskan saja,” kata Nor Izyani.
Dia juga pernah mengalami kecederaan kaki yang menyebabkannya terpaksa berhenti berlari seketika, namun minat terhadap larian dan sokongan rakan-rakan membangkitkan semula kekuatannya.
Selain cabaran fizikal, kedua-dua mereka tidak terlepas daripada tanggapan orang luar tentang aktiviti mereka.
“Awal-awal tu rasa juga macam malu, risau orang cakap kita mengada-ngada. Tapi alah bisa tegal biasa. Lama-lama kita dah lali,” ujar Hamsaton.
“Mulut orang memang kita tak boleh tutup, tapi lama-lama senyap sendiri. Kita buat je apa yang kita suka dan selesa,” tambah Nor Izyani.
Semangat dan sokongan daripada rakan-rakan merupakan sumber inspirasi mereka untuk terus aktif dan yakin dengan diri sendiri.
“Tugas kawan adalah support kawan, mereka juga adalah inspirasi saya,” kata Nor Izyani.
Mereka berdua turut menitipkan pesanan agar orang ramai tidak cepat menilai orang terutamanya wanita yang memilih untuk berpakaian ‘berbeza’ dalam aktiviti sukan seperti larian.
“Kadang-kadang orang pandang rendah bila tengok wanita berpurdah atau berkain nak bersukan. Contohnya orang fikir macam mana nak lari kalau berkain atau berpurdah tidak sesuai untuk bersukan. Tapi itu yang dia selesa, dan dia pun ada hak nak hilangkan stress dan kekal aktif. Kita kena sokong, bukan kecam,” tegas Nor Izyani.