363 views 2 mins 0 comments

Nur Azwaneeza Berharap Dapat Terus Wakili Selangor di SUKMA 2026

In Sukan
May 09, 2025
Nur Azwaneeza bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil Selangor pada SUKMA 2026.

SHAH ALAM – Atlet bola jaring Selangor, Nur Azwaneeza Marya Yulisman menaruh harapan untuk meneruskan aksi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang bakal berlangsung di Selangor, Ogos tahun depan.

Beliau yang berusia 18 tahun berkata, namanya kini berada dalam senarai awal pemain kerana masih dalam proses pemilihan.

“Nama saya masih dalam senarai awal, sekiranya ada rezeki nama saya tersenarai dalam senarai akhir, saya akan kembali main untuk pasukan.

“Setakat ini, saya belum ada apa-apa perancangan lain untuk wakili negara dalam peringkat lebih tinggi selain SUKMA,” katanya.

Anak ketiga dari lima beradik ini mula melibatkan dirinya dalam sukan bola jaring ketika berada di bangku sekolah seawal usia 9 tahun dan mewakili beberapa kejohanan yang dipertandingkan.

“Saya pernah mewakili Methodist Girls’ School (MGS) Klang pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) dan berjaya membantu pasukan menjadi johan kategori bawah 11 tahun serta mendapat tempat ketiga bawah 12 tahun.

“Saya turut dipilih mewakili daerah Klang ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS) bawah 11 tahun, hasil bimbingan dan dorongan jurulatih saya,” tambahnya.

Ketika melangkah ke Sekolah Sukan Negeri (SSN) pada tahun 2020, beliau tidak sempat menyertai sebarang kejohanan kerana baru memasuki tingkatan 1 dan memerlukan lebih banyak pengalaman untuk terpilih mewakili kejohanan sukan.

“Saya tidak dapat mewakili apa-apa kejohanan kerana saya masih tingkatan 1 dan memerlukan pengalaman yang lebih meluas lagi, tambah pula kejohanan tidak dapat diteruskan akibat pandemik Covid-19.

“Pada tahun 2021, sukan mula aktif tetapi ia dikendalikan hanya atas talian namun saya mengambil inisiatif untuk menghantar video latihan kepada jurulatih secara konsisten sebagai usaha untuk terpilih ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Sehingga akhirnya saya terpilih mewakili kejohanan MSSM dan dinobatkan sebagai Johan MSSM 2021 Bawah 15 tahun, sekaligus melayakkan saya untuk ke kejohanan seterusnya dan telah mendapatkan kepercayaan dan pengalaman yang sangat luas untuk mewakili SUKMA,” jelasnya.

Dengan sokongan keluarga, terutama kakaknya yang menjadi inspirasi utama, Nur Azwaneeza bertekad untuk terus mengharumkan nama Selangor di pentas SUKMA 2026 nanti.

Husnina Zahra Hadri
/ Published posts: 1

Bukan berita biasa, ia suara bernyawa.