320 views 2 mins 0 comments

Bekas Wartawan Genggam Ijazah Doktor Falsafah

In Berita, Kampus
May 11, 2025
Ima (tengah) bersyukur kerana usahanya untuk bergelar doktor falsafah mendapat sokongan kuat suami dan ahli keluarga. FOTO Ihsan Dr Ima Liana Esa.

SHAH ALAM: Pengalaman lebih sedekad dalam dunia penyiaran menjadi asas penting kepada graduan doktor falsafah, Dr Ima Liana Esa untuk melakar kejayaan dalam bidang akademik.

Bermula sebagai wartawan dan kemudian pembantu editor di Media Prima, Ima berkhidmat selama 16 tahun sebelum melangkah ke dunia pendidikan.

Beliau yang kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media.

Lebih membanggakan, dia turut dipilih sebagai penerima Anugerah Penyelidikan Cemerlang yang disifatkan sebagai penghargaan terbesar dalam kariernya setakat ini.

“Bagi saya, pengalaman di Media Prima amat bermakna kerana di situlah saya belajar bekerja dalam tekanan dan mengurus pelbagai perkara secara serentak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ima berkata, dorongan untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi datang daripada satu momen yang tidak dijangka.

“Saya terinspirasi melanjutkan ke PhD kerana melihat penyelia saya memakai selempang merah jambu walaupun saya sendiri sudah ada selempang itu selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana.

“Selempang itu menjadi lambang azam saya untuk naik satu tahap lagi,” katanya lagi.

Tambah beliau, perjalanan menyambung pengajian bukanlah sesuatu yang mudah, apabila dia bergelut dengan tugasan di bilik berita dan pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta pada 2022.

“Pada sebelah pagi saya bekerja sebagai pensyarah sambilan dan menyambung tugasan di stesen televisyen sehingga lewat malam.

“Bila sampai rumah, saya sambung buat tesis sebab penyelia saya pernah pesan, buka tesis setiap hari walaupun hanya letak satu noktah,” katanya mengenang kembali rutin ketika bergelar pelajar dan petugas media.

Menurut Ima, pengurusan masa menjadi perkara paling mencabar sepanjang pengajian, namun beliau berjaya menyesuaikannya sedikit demi sedikit.

Selain itu katanya, sokongan keluarga turut memainkan peranan penting dalam perjalanan akademiknya.

“Sokongan paling besar datang daripada suami saya yang sangat memahami dan beri ruang, juga ahli keluarga yang tahu saya masih bergelar pelajar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak ada had usia untuk menuntut ilmu selagi ada semangat dan keinginan dalam diri.

“Tidak kisah umur berapa, pengurusan masa amat penting dan usaha perlu diteruskan, jangan berhenti,” katanya.

Syamilah Yusman
/ Published posts: 1

Berkongsi untuk memahami, bukan menghakimi