548 views 2 mins 0 comments

Program Jualan Ehsan Rahmah Tarik Perhatian Penduduk Shah Alam

In Berita, Komuniti
May 12, 2025
Beratur sejak pukul 6:30 pagi untuk beli pelbagai barangan keperluan harian pada harga murah.

SHAH ALAM – Program Jualan Ehsan Rahmah Madani yang dianjurkan sempena sambutan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam edisi Mei 2025 berjaya menarik kehadiran ramai warga Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

Program yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu bermula seawal jam 8.00 pagi.

Sebahagian daripada pengunjung sabar menunggu giliran untuk membuat pembelian  di salah sebuah gerai yang mengambil bahagian.

Inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Program tersebut bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Antara barangan yang ditawarkan termasuk ayam pada harga RM12 seekor, ikan RM6 sekilogram, daging RM10 sekilogram dan beras lima kilogram pada harga RM13.

Turut dijual barangan asas lain seperti telur, minyak masak, tepung, bihun, sardin, biskut, sabun dan lampin pakai buang.

Seorang pengunjung, Danial Haiqal Mohd Zuhari, 19 tahun, program sebegini sangat membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti pelajar universiti yang tinggal di luar kampus.

“Jualan Rahmah ini sangat berpatutan, khususnya untuk pelajar kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding di kedai biasa. Jika membeli di Jualan Rahmah, kami boleh jadikan stok untuk sebulan terus,” katanya.

Suri rumah, Faridah Pinni, 51, turut menyambut baik inisiatif ini yang disifatkan sangat membantu golongan berpendapatan rendah.

“Jualan Rahmah sangat berpatutan, khususnya untuk golongan B40 kerana harganya berada dalam bajet kami. Ia secara tidak langsung dapat meringankan beban perbelanjaan harian,” ujarnya.

Orang ramai memenuhi salah sebuah gerai barangan keperluan dapur di program Jualan Ehsan Rahmah  Madani di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam di sini pada Ahad.
Balqis Nadhirah Zulhaiza
/ Published posts: 2

Menulis Dengan Hati, Mendengar Dengan Jiwa. Cerita Untuk Rasa, Bukan Sekadar Baca.