
THE HAGUE – Kerajaan Belanda pada hari Selasa menggesa ibu bapa supaya tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menggunakan laman sosial seperti TikTok dan Instagram, berikutan kebimbangan terhadap kesan psikologi dan fizikal seperti serangan panik, kemurungan, dan gangguan tidur.
Kementerian Kesihatan turut menyarankan agar ibu bapa mengehadkan tempoh masa penggunaan peranti anak-anak, melarang penggunaan telefon dan komputer riba di dalam bilik tidur, serta menggalakkan 20 minit penggunaan skrin diikuti dengan dua jam aktiviti luar.
Rekomendasi yang tidak mempunyai kuasa undang-undang bertujuan membantu kanak-kanak membina ketahanan dalam dunia digital dan celik media, menurut Vincent Karremans, Timbalan Menteri Belia dan Sukan sementara kerajaan Belanda.
“Laman sosial tidak dibina untuk kanak-kanak,” kata Karremans. “Reka bentuknya dimaksudkan untuk mengekalkan perhatian pengguna selama mungkin, dan ini menjejaskan perkembangan kanak-kanak.”
Walaupun TikTok dan Instagram secara rasmi menetapkan umur minimum 13 tahun, kerajaan Belanda membezakan antara ‘platform laman sosial’seperti TikTok dan Instagram dengan aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Signal, kerana platform laman sosial mempunyai ciri yang lebih kuat dari segi ketagihan dan tekanan psikologi.
Kanak-kanak dibenarkan menggunakan aplikasi pesanan bermula pada umur 13 tahun, selaras dengan usia mula sekolah menengah di Belanda.
Australia menjadi negara pertama yang melarang penggunaan laman sosial oleh kanak-kanak bawah umur 16 tahun, manakala Denmark dan Perancis sedang menimbangkan langkah serupa. Sweden pula mengeluarkan garis panduan tentang had masa penggunaan skrin untuk kanak-kanak sejak tahun lalu.
Satu pasukan pakar yang dilantik atas permintaan Parlimen Belanda mendapati bahawa penggunaan media sosial dan peranti secara berlebihan boleh menyebabkan gangguan emosi dan fizikal dalam kalangan kanak-kanak.
Beberapa sekolah di Belanda telah melarang penggunaan tablet, telefon pintar dan jam tangan pintar oleh murid-murid, kecuali untuk pembelajaran berkaitan literasi media.
Pada bulan Mei lalu, kira-kira 1,400 doktor dan pakar kanak-kanak di Belanda menandatangani surat terbuka, menggesa kerajaan melarang telefon pintar bagi kanak-kanak di bawah umur 14 tahun, serta mengehadkan penggunaan media sosial sehingga umur 16 tahun.
Pada bulan Februari, Ratu Máxima turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan penggunaan peranti terhadap remaja, dan berkongsi bahawa Puteri Ariane, anak bongsunya, mengalami masalah penglihatan akibat penggunaan peranti secara berlebihan.- AP News
https://apnews.com/article/dutch-teens-social-media-kids-tiktok-instagram-bd4c197181298ec5099967867233fc1b: Belanda Sarankan Kanak-Kanak Bawah 15 Tahun Elak Guna TikTok dan Instagram