357 views 3 mins 0 comments

Hazra Bangga Teruskan Legasi Pak Ngah

In Rencana
June 26, 2025
Mahupun tanpa bayangan nama besar arwah, Hazra Dollah terus melangkah dalam dunia muzik tradisional. (Foto: @admaqml.jpg)

SHAH ALAM- Legasi seni tradisional yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah masih diteruskan oleh anak didiknya, Hazra Dollah, 38, yang kini aktif memperjuangkan muzik warisan.

Anak ketiga daripada enam beradik yang berasal dari Limbang, Sarawak itu berkongsi kisah penglibatannya bersama Pak Ngah bermula dengan hanya rakaman demo sehingga menjadi penyanyi terkenal yang hasil lagunya adalah daripada karya-karya beliau.

“Sepanjang saya bersama arwah, saya belajar banyak perkara tentang disiplin, cara menghargai muzik kita sendiri, dan pentingnya menjaga warisan bangsa,” kata Hazra.

Hazra yang telah berkecimpung dalam bidang seni sejak 18 tahun lalu berkata, sebelum bekerja di bawah bimbingan arwah Pak Ngah, beliau pernah berkhidmat di Kid Zania Art, Yamaha Music School, dan juga sebagai Artis Kebudayaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Perjalanannya dalam bidang muzik bersama Pak Ngah bermula ketika beliau mula mendapat panggilan untuk merakamkan demo seseorang artis.

“Saya selalu buat demo untuk teater, banyak lagu yang saya nyanyikan semula dan itu adalah karya yang tidak dapat dilupakan,” jelasnya.

Walaupun Hazra gementar apabila dihubungi untuk rakaman dengan Pak Ngah pada mulanya, tapi beliau akhirnya yakin selepas mengenali sikap arwah yang mesra dan ambil berat tentang anak didiknya.

“Arwah sangat menitikberatkan kebajikan kami.

“Kalau beliau sudah yakin dengan seseorang, beliau akan terus beri peluang dan bimbingan,” katanya.

Karya Bermakna

Hazra juga berkongsi bahawa beberapa lagu khas pernah dicipta untuknya. Antara lagu tersebut adalah ‘Rindu Ramadhan’ dan ‘Senyum Lebaran’, yang kini menjadi karya bermakna dalam perjalanannya sebagai penyanyi muzik warisan.

Namun kini, tanpa bergantung pada nama besar arwah, Hazra tetap tampil memperjuangkan muzik tradisional dengan caranya sendiri.

Baginya, seni warisan bukan sekadar hiburan, tetapi identiti dan nilai diri bangsa yang perlu dipertahankan.

“Saya percaya seni perlu disemai dari awal. Bila anak-anak kenal muzik kita, mereka akan belajar untuk bangga dengan asal-usul mereka,” kata anak kelahiran Sarawak ini.

“Pak Ngah selalu pesan, jangan sesekali meninggalkan muzik tradisional walaupun kita pergi ke mana-mana, jangan sesekali lupakan. Kita adalah warisan, generasi muda perlu teruskan legasi ini,” ujarnya.

“Ke mana pun kita pergi, jangan sesekali tinggalkan tradisional. Itu warisan kita,” kongsi Hazra mengenai nasihat Pak Ngah kepadanya.

Kini, dengan pengalaman dan semangat yang tidak pernah luntur, beliau mahu lebih ramai anak muda tampil menyambung perjuangan seni budaya tanah air.

Beliau berharap lebih ramai anak muda tampil menyambung warisan seni tradisional dengan penuh dedikasi dan kecintaan agar legasi seni warisan terus hidup dan dihargai.

Elliana Shahiza
/ Published posts: 1

Menulis Untuk Menyuarakan Yang Tak Terdengar Dan Mencari Kisah Yang Tak Terlihat