274 views 2 mins 0 comments

Hotel di China Diarah Hentikan servis “Wake-Up Call” Menggunakan Panda Merah

In Global
July 01, 2025
Seekor panda merah yang digunakan oleh pihak Hotel Lehe Ledu Liangjiang Holiday sedang memberikan ‘servis kejut pelanggan’ secara langsung di dalam bilik tetamu. (Foto: Sixth Tones News)

CHONGQING- Sebuah hotel di China, Lehe Ledu Liangjiang Holiday, diarahkan untuk menghentikan serta-merta perkhidmatan mengejutkan tetamu dengan kehadiran panda merah ke dalam bilik kerana dikhuatiri menjejaskan kebajikan haiwan tersebut.

Melalui servis itu, panda merah dibawa masuk ke dalam bilik tetamu untuk memanjat atas katil dan ‘mengejutkan’ mereka secara langsung.

Pihak hotel memaklumkan terdapat empat ekor panda merah yang digunakan dalam servis itu serta mereka bergilir mengunjungi bilik tetamu bergantung kepada tingkah laku serta kesediaan haiwan tersebut pada hari berkenaan.

Namun, Biro Perhutanan Chongqiang bertindak mengeluarkan arahan supaya semua aktiviti melibatkan interaksi langsung dengan haiwan liar diberhentikan serta-merta.

Pakar menyatakan bahawa tindakan ini walaupun kelihatan comel, boleh memberi kesan tekanan yang besar terhadap haiwan tersebut.

“Panda merah sangat sensitif dan mudah tertekan. Interaksi terlalu dekat dengan manusia boleh mendatangkan bahaya kepada haiwan dan manusia,” kata Sun Quanhui, saintis daripada World Animal Protection.

Panda merah merupakan spesies terancam dan dilindungi di China sebagai haiwan perlindungan kelas kedua.

Ia juga tersenarai dalam Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Meskipun perkhidmatan itu dilihat unik dan menarik, sebarang bentuk hiburan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kebajikan haiwan, apatah lagi melibatkan spesies terancam seperti panda merah.

Ramai pengguna media sosial melahirkan rasa teruja dengan servis itu, namun segelintir turut menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan yang mungkin dialami panda merah.

Pihak hotel setakat ini belum memberikan kenyataan rasmi berhubung arahan penghentian operasi itu.

Insiden ini membuka perbincangan semula tentang sempadan antara pengalaman pelancong dan etika terhadap haiwan liar.

https://www.upi.com/Odd_News/2025/06/25/Lehe-Ledu-Liangjiang-Holiday-Hotel-red-pandas/6341750868176/: Hotel di China Diarah Hentikan servis “Wake-Up Call” Menggunakan Panda Merah
Farhana Nizam
/ Published posts: 4

Menulis bukan untuk disukai, tapi untuk menyedarkan.