337 views 2 mins 0 comments

“Jacket Potato” Gaya UK Jadi Tarikan Utama Warga Shah Alam

In Bisnes
July 01, 2025
Pelanggan dilihat beratur panjang di gerai “Jacket Potato” di Jalan Kristal, Shah Alam, yang semakin mendapat sambutan sejak tular di media sosial. (Foto:TikTok@wasgudz)

SHAH ALAM- Minat mendalam dalam bidang perniagaan dan inspirasi daripada hidangan makanan barat telah mendorong seorang anak muda, Nadhirah Yulaidi, untuk memulakan perniagaan kecil yang diberi nama ‘Jacket Potato’.

Walaupun berstatus pekerja sepenuh masa dalam bidang lain, Nadhirah tetap komited dalam mengendalikan perniagaannya itu, yang kini telah beroperasi hampir lapan bulan.

Meskipun baru mempunyai satu cawangan, gerai ‘Jacket Potato’ miliknya ini telah berjaya menarik perhatian masyarakat dan sudah mempunyai pelanggan tetapnya sendiri.

Menyedari potensi menu yang masih belum diterokai secara meluas di Malaysia, Nadhirah tekad membawa kelainan melalui perniagaannya.

“Jacket Potato ni sangat popular di luar negara seperti United Kingdom, tapi dekat sini belum ada ramai yang buat. Jadi saya nak bawa sesuatu kelainan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan berasaskan kentang bakar itu menawarkan pelbagai inti menarik seperti bolognese, carbonara, dan ayam panggang yang merupakan hasil ciptaan serta ubah suai resipi beliau sendiri bersesuaian dengan cita rasa masyarakat tempatan.

“Tekak orang lain-lain, jadi bila ada pelanggan bagi komen atau cadangan, kami ambil dan cuba perbaiki dari situ,” jelasnya.

Walaupun tidak mempunyai pelan perniagaan atau strategi pemasaran yang khusus, Nadhirah percaya keunikan produknya berpunca daripada pengaruh media sosial yang memainkan peranan besar dalam pertumbuhan perniagaannya.

“Rakyat Malaysia ini, bila tengok orang beratur, mereka pun rasa nak cuba. Mungkin sebab itu perniagaan ini cepat dikenali ramai,” ujarnya.

Antara cabaran utama yang dihadapi beliau ketika ini adalah faktor cuaca yang tidak menentu memandangkan tapak perniagaannya terletak di kawasan terbuka, selain perlu bersaing secara sengit dengan beberapa perniagaan lain yang turut beroperasi di lokasi yang sama.

“Biasalah, kalau dah berniaga mesti akan ada persaingan. Tapi saya fokus pada usaha sendiri dan pelanggan saya sahaja,” katanya.

Buat masa ini, Nadhirah belum merancang untuk membuka cawangan baharu, namun berhasrat untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan dan variasi menu bagi kekal relevan dan menarik minat lebih ramai pelanggan ke gerainya.

“Saya harap perniagaan ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa, dan lebih ramai pelanggan akan kenal serta beri sokongan yang baik,” katanya ketika ditemubual.

Dengan semangat dan kesungguhan tinggi yang dimiliki Nadhirah, perniagaan ini membuktikan bahawa minat yang mendalam mampu mengubah idea kecil menjadi sebuah jenama yang berpotensi besar.

Sharifah Sofea
/ Published posts: 1

Menulis Fakta, Menjaga Kebenaran.