633 views 50 secs 0 comments

Burung Kakak Tua Mulut ‘Laser’ Cari Pemilik Baru

In Global
June 30, 2025
Hendrix , burung kakak tua “rated R” yang kini menunggu pemilik baru di Forever Paws Animal Shelter. (Foto : Youtube)

MASSACHUSETTS – Forever Paws Animal Shelter sedang mencari pemilik baru untuk Hendrix, burung kakak tua berusia 20 tahun yang terkenal dengan keunikannya dalam menggunakan kata-kata kasar.

Menurut pihak pusat jagaan, “Kamus Hendrix kebanyakannya terdiri daripada kata-kata kasar dan penghinaan,” menjadikan Hendrix berbeza daripada burung lain. 

Ia kerap mengeluarkan kata-kata tidak senonoh secara spontan,mengejutkan sesiapa yang mendengarnya.

Hendrix sebelum ini diserahkan oleh pemilik lamanya akibat masalah kewangan.

Diet yang tidak seimbang menyebabkan kesihatannya merosot, dan bulunya hampir gugur sepenuhnya.

Hendrix diberi makanan seperti bijirin manusia, roti putih, biskut haiwan dan selepas menerima diet yang sihat, bulunya kini tumbuh semula dan kesihatannya bertambah baik.

Selain perangai kasarnya, Hendrix juga mempunyai sisi mesra. Ia sering mengucapkan “terima kasih” dan “selamat pagi” ,yang mencuit hati penjaga di pusat jagaan.

Forever Paws telah menerima lebih 50 permohonan daripada calon yang berminat untuk memelihara Hendrix dan proses saringan dijalankan untuk mendapatkan rumah yang paling sesuai.

Pihak pusat jagaan menetapkan beberapa kriteria penting bagi calon pemilik seperti mempunyai pengalaman menjaga burung besar dan menyediakan sangkar yang luas untuk keselesaan Hendrix.

Pusat jagaan turut menetapkan yuran pemilikan sebanyak USD 300. 

Jika tiada calon yang sesuai ditemui, Forever Paws akan membuka semula permohonan. 

Kisah Hendrix telah mencuri perhatian ramai di media sosial. Burung ini bukan sahaja menjadi cabaran bagi bakal pemilik tetapi juga membawa keceriaan dengan keistimewaannya yang unik.

https://www.upi.com/Odd_News/2025/06/23/parrot-Forever-Paws-curse-words/2911750701073/: Burung Kakak Tua Mulut ‘Laser’ Cari Pemilik Baru
Amalina Aziz
/ Published posts: 2

Setiap patah perkataan kami, membawa suara rakyat