BANJARBARU — Kerajaan Indonesia melancarkan program pendidikan percuma baharu dinamakan Sekolah Rakyat, sebagai usaha lebih luas untuk memutuskan kitaran kemiskinan dengan menyediakan sokongan pendidikan dan sosio-ekonomi yang bersepadu, kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin serta keluarga mereka.
Menteri Hal Ehwal Sosial, Saifullah Yusuf, berkata program tersebut menyasarkan kanak-kanak daripada keluarga miskin yang selama ini menghadapi kesukaran untuk mengakses pendidikan berkualiti.
“Program ini bukan sekadar menghantar kanak-kanak ke sekolah, tetapi untuk mengubah kehidupan keluarga mereka secara menyeluruh,” katanya selepas meninjau persiapan projek perintis Sekolah Rakyat di sini.
Saifullah berkata, sekolah tersebut direka berbeza daripada sekolah konvensional dengan mengintegrasikan pendidikan bersama pemerkasaan ekonomi dan sosial.
“Kanak-kanak bersekolah manakala ibu bapa diberi pemerkasaan. Apabila kanak-kanak tamat pengajian, ibu bapa juga telah meningkat taraf hidup mereka,” tambah beliau.
Di bawah program itu, pelajar akan menerima sokongan pendidikan sepenuhnya, termasuk penginapan, manakala ibu bapa dijangka terlibat dalam koperasi desa dan inisiatif mata pencarian.
“Ibu bapa akan dilibatkan dalam koperasi, menerima bantuan sosial, sokongan makanan berkhasiat serta pemeriksaan kesihatan berkala.
“Pendidikan sahaja tidak mencukupi. Kita mesti memperkukuh keluarga serentak supaya peningkatan itu berpanjangan,” jelasnya.
Sekolah Rakyat juga berfungsi sebagai pusat bagi beberapa program utama di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, termasuk inisiatif Makanan Berkhasiat Percuma dan Koperasi Desa Merah Putih.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Sosial, 8.57 peratus daripada populasi Indonesia atau kira-kira 24 juta penduduk masih hidup di bawah garisan kemiskinan, manakala 1.13 peratus lagi diklarifikasikan sebagai daif.
“Sehingga 2025, kita telah menubuhkan 166 sekolah perintis Sekolah Rakyat di seluruh negara dan ia akan dirasmikan pada 12 Januari 2026,” kata Saifullah.
Beliau menambah, sekolah-sekolah ini dijangka menampung kira-kira 16,000 pelajar di peringkat rendah, menengah rendah dan menengah atas, disokong oleh lebih 2,400 guru dan 4,000 kakitangan pendidikan. – Antara News
