Bermula dengan modal rendah dan pengalaman cetek dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B), tiga sahabat mahasiswa ini menzahirkan bukti bahawa cita-cita boleh direalisasikan dengan keberanian dan kesungguhan.
Amirul Anas Zulkifli, 24, Muhammad Jawher Abu Bakar, 23, dan Muhammad Akmal Rosman, 23 mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya membangunkan Amber Coffee iaitu sebuah kafe yang menjadi tumpuan pelajar dan komuniti sekitar di Tapak Riverbank Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dari Impian ke Realiti: Permulaan Amber Coffee
Perjalanan membina Amber Coffee tidak semudah yang disangka sebagai seorang mahasiswa, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran besar untuk mengimbangi komitmen akademik dan pengurusan perniagaan.
“Kami bermula tanpa pengalaman yang besar dalam industri kopi, tapi banyak perkara yang kami belajar sendiri daripada cara mengurus kewangan, stok sehinggalah melayan pelanggan,” Kata Jawher.
Walaupun pada peringkat awal tidak semua pihak memberikan kepercayaan terhadap idea yang dibawa, namun semangat juang ketiga-tiga mahasiswa ini tidak pernah luntur apabila mereka terus berusaha mengemukakan permohonan demi merealisasikan penubuhan Amber Coffee.
Dengan hanya bermodalkan RM15,000, ketiga-tiga rakan ini memulakan operasi Amber Coffee di Tapak Riverbank Delima pada April 2025, hasil sokongan penuh daripada Pengetua Kolej Delima, Ts. Dr. Norazhar Baba.
Amber Coffee berjaya menghidupkan semula kawasan yang sebelum ini suram selepas pandemik Covid-19.
Menggunakan konsep “outdoor cafe” dengan elemen ‘healing’ yang diketengahkan berjaya menarik kehadiran pelajar, staf UiTM dan juga orang luar.
Peranan Berbeza, Matlamat Sama
Amirul, sebagai pengurus operasi, tidak hanya menyelia pengurusan stok dan kewangan, tetapi turut memastikan setiap sudut kafe berjalan lancar.
Jawher pula menjaga kebajikan kakitangan, mengatur jadual kerja dengan teliti agar semua pekerja bekerja dengan harmoni.
Sementara itu, Akmal menjadi wajah jenama di dunia digital, merangka strategi pemasaran dan promosi yang kreatif untuk menarik perhatian pelanggan, khususnya generasi muda melalui media sosial.
Selain membina perniagaan sendiri, mereka juga turut membuka peluang pekerjaan kepada pelajar UiTM melalui kerja separuh masa dan mereka mendapati pendekatan ini bukan sahaja dapat membantu pelajar menjana pendapatan, malah memberi pendedahan awal kepada dunia pekerjaan dan keusahawanan.
“Saya faham dengan situasi ekonomi sekarang dan ada sesetengah pelajar yang tidak ingin membebankan ibu bapa mereka maka kami membuka peluang ini kepada pelajar UiTM yang masih belajar untuk menjana pendapatan sendiri.
“Alhamdulillah, sepanjang saya belajar saya jarang meminta duit daripada ibu ayah saya.
“Saya yakin semua pelajar juga mampu belajar mencari sumber pendapatan sendiri walaupun bergelar seorang mahasiswa,” ujar Amirul.
Kesungguhan mereka tidak terhenti di situ, demi mendalami ilmu keusahawanan dan budaya kopi, ketiga-tiga pengasas ini sanggup menyimpan wang hasil keuntungan perniagaan dan pendapatan sendiri untuk ke luar negara.

Menuntut Ilmu Tanpa Sempadan, Impian Melangkaui UiTM
Vietnam dan China menjadi destinasi pilihan bagi mereka untuk belajar secara langsung daripada pengusaha kopi antarabangsa kerana Vietnam merupakan antara pengeluar biji kopi yang terbaik.
Perjalanan ke luar negara tersebut bukan sekadar melancong, namun ia merupakan satu pelaburan ilmu untuk mereka memberikan yang terbaik kepada setiap pelanggan yang hadir.
Mereka bertemu pemilik kafe dan berkongsi pengalaman, mempelajari teknik pembuatan kopi serta memahami budaya perniagaan kopi yang lebih sistematik dan profesional.
Pengalaman ke China dan Vietnam tidak disimpan untuk diri sendiri, sebaliknya dimanfaatkan dengan berkongsi ilmu serta tips pembikinan produk terbaik yang dipelajari demi memperkukuh kualiti perniagaan mereka.
Hasil dari perkongsian ilmu ini serba sedikit akan membantu mereka menambah baik Amber Coffee dari pelbagai aspek.
Langkah ini selari dengan impian besar mereka untuk memperluaskan jenama tersebut ke seluruh cawangan UiTM di Malaysia.
“Impian kami satu hari nanti untuk adakan, satu UiTM ada satu Amber Coffee”, ujar Akmal penuh harapan.
Perjuangan tiga mahasiswa ini membuktikan bahawa kejayaan tidak hadir dengan mudah, ia lahir daripada keberanian untuk terus mencuba, kesanggupan berkorban dan keikhlasan dalam menuntut ilmu tanpa mengenal sempadan.
Amber Coffee kini berdiri sebagai bukti bahawa dengan tekad dan minat, mahasiswa juga mampu mencipta jenama sendiri dan melangkah jauh, walaupun bermula dari minat terhadap secawan kopi.
