454 views 5 mins 0 comments

“Saya Buat Bukan Kerana Pilihan…” – Pesakit Kanser Payudara Bangkit Usahakan Perniagaan Bakeri

In Ekonomi
May 24, 2025
Diuji masalah kesihatan tidak halang usahawan kecil ini meneruskan minat yang berputik sejak di bangku sekolah.

SHAH ALAM- Pernah disahkan menghidap kanser payudara pada 2014, Lily Zalina Markom, 51, cekal melalui ujian tersebut sambil meneruskan perniagaan bakeri yang diusahakan sejak 2000.

Menurut ibu kepada lima orang anak ini, dia sangat terkejut apabila mendapat berita yang mendukacitakan berkenaan dirinya itu.

“Pada masa itu, saya merasakan dunia seakan-akan gelap, kekecewaan menyelubungi diri seolah inilah pengakhiran kepada hidup saya,” katanya.

Sejak itu, Lily melalui pembedahan pertama dan deretan rawatan kimoterapi serta radioterapi yang menguji fizikal hingga melemahkan seluruh tubuhnya.

“Saya menjalani pembedahan membuang tumor pada kali pertama.

“Selepas itu, menjalani kimoterapi sebanyak empat kali, rawatan radioterapi 22 kali, dan terapi hormon selama 10 tahun.

“Saya buat bukan kerana pilihan tetapi demi kelangsungan hidup dan harapan untuk terus melihat anak-anak membesar di depan mata,” jelasnya.

Merasakan penderitaan pesakit kanser yang dialami, wanita cekal ini mengambil keputusan untuk mengikuti kursus-kursus memasak dan membuat kek di Chef Asma Kulinari Studio bertempat di Puchong Perdana.

“Walaupun belum sihat sepenuhnya, saya bertekad untuk melakukan sesuatu bagi melupakan kesakitan yang saya alami sekarang,” katanya.

Antara kursus seni bakeri yang diikuti adalah membuat tepung talam dalam 30 jenis, roti dan “puff pastry”, menghias kek serta membuat brownies dan frozen food.

Berbekalkan semangat dan minat mendalam dalam bidang bakeri, beliau mengikuti kelas membakar kek sebagai usaha dalam membina perniagaan sendiri dan melupakan sakitnya itu.

Setiap adunan tepung dan gula bukan sekadar resipi kek biasa buat Lily, namun ia adalah sebagai simbol harapan, kekuatan dan perjuangan hidup menentang penyakit yang boleh meragut nyawa tetapi tidak sekali-kali melemahkan semangatnya.

“Sebenarnya minat saya dalam bidang bakeri ini bermula sejak zaman sekolah lagi.

“Tetapi disebabkan keputusan cemerlang yang saya peroleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu, keluarga mengesyorkan untuk mengambil bidang perakaunan kerana bidang baking pada masa itu tidak menjamin kerjaya yang bagus, jadi saya batalkan niat saya untuk terjun ke industri tersebut,” tambahnya.

Pada tahun 1995 pula, anak jati Kampung Tanjung Ara Parit, Perak ini mendirikan rumah tangga dan mengikuti suami, Zulkifli Malek yang bekerja di Papua New Guinea selama 10 tahun.

“Sewaktu tinggal di Papua New Guinea, saya memulakan perniagaan dengan menjual kerepek pisang.

“Inilah perniagaan pertama saya dan keuntungan luar daripada yang dijangka yang mana saya telah mendapat keuntungan RM12,000 dalam sebulan,” ceritanya penuh teruja.

Lily menjadi perintis dalam perniagaan kerepek pisang di Papua New Guinea selepas mendapat sambutan yang hangat dari penduduk setempat.

Kemudiannya, pada tahun 2006 Lily kembali ke Malaysia untuk menguruskan anak-anaknya dan berhenti melakukan sebarang perniagaan selama lima tahun.

“Selepas itu, pada tahun 2010 saya mula belajar membuat macaron kerana pada masa itu macaron sangat popular tetapi tidak ramai yang menjualnya,” katanya.

“Bermula dari saat itulah saya bercadang untuk mengambil kelas membuat macaron yang bertempat di Klang, Selangor.

“Selain dari macaron, saya juga mengambil kursus membuat coklat “homemade” dan kursus memasak dan menghias kek selama 3 bulan,” tambahnya lagi.

Menerusi platform Facebook perniagaan menjual macaron miliknya berjaya mendapat keuntungan tertinggi sebanyak RM5,000 melalui satu tempahan seorang pelanggan.

Pada masa itu, Lily sangat teruja kerana perniagaan yang diusahakan membuahkan hasil dan memberi pulangan yang lumayan.

Namun jauh di sudut hati, emosi dan fizikal Lily masih diuji kerana perlu berjuang melawan penyakitnya itu secara terus.

“Namun berkat doa yang tidak putus-putus daripada keluarga serta semangat yang terbit dalam diri, saya belajar untuk bangkit setiap kali rebah.

“Melawan penyakit kanser ini bukan sekadar untuk diri saya, tetapi demi insan-insan tersayang yang masih memerlukan saya disisi mereka.

“Selepas itu, hidup saya sekali lagi diuji apabila suami saya pula diberhentikan kerja ketika itu mungkin kerana dia banyak menghabiskan masa menjaga saya semasa sakit,” ujarnya lagi.

Sejak itu, wanita ini tidak menoleh ke belakang lagi dan terus melibatkan diri secara serius di dalam perniagaan bakeri.

“Mulai saat itu, saya dan suami menjual kek di pasar malam Seksyen 7, Taipan Setia Alam dan Klang Perdana setiap hari kecuali Sabtu,” tambahnya.

Berkat kesabaran dan sokongan keluarga, Lily kembali bangkit dan mula merasakan perubahan positif terhadap tahap kesihatannya.

“Corak pemakanan dan yang paling penting ianya menjadikan saya untuk menjadi seorang yang lebih kuat, berani dan sentiasa redha atas apa saja dugaan hidup.

“Alhamdulilah, kini saya sudah disahkan bebas dari penyakit kanser, saya bersyukur pada Allah S.WT kerana telah memberi kesempatan, rezeki dan anak-anak yang berjaya dalam hidup mereka,” katanya menutup bicara.

Aminnur Rashid
/ Published posts: 1

Melalui Konsistensi, Saya Menyuarakan Fakta Dan Menyedarkan Isu Sosial Yang Terpinggirkan