306 views 4 mins 0 comments

Angkat Ibu Tunggal Sebagai Tema Pameran Seni Lukisan

In Komuniti
January 19, 2026
Karya bermotif ibu tunggal sering mendapat perhatian ramai pengunjung yang menghargai pengorbanan luar biasa golongan tersebut dalam membentuk sebuah keluarga.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” begitulah hakikat yang dilalui oleh ibu tunggal yang bukan sahaja kehilangan pasangan hidup, malah berhadapan dengan stigma masyarakat.

Golongan ini sering tidak terlepas daripada pelbagai tohmahan seperti penyondol, penggoda dan pisau cukur, walaupun realitinya ramai ibu tunggal memikul tanggungjawab yang jauh lebih berat demi kelangsungan hidup anak-anak.

Dalam realiti semasa, cabaran ibu tunggal semakin mencabar apabila bekas suami culas menunaikan tanggungjawab nafkah, sekali gus memaksa mereka memikul beban kewangan dan emosi secara bersendirian.

Ibu tunggal tampil sebagai figura bapa melalui tangan yang bekerja dan hati yang tidak pernah berhenti berdoa, meskipun pengorbanan mereka sering berlaku dalam diam, usaha itu terus menjadi sumber kekuatan keluarga.

Menyelami perkara tersebut, beberapa pelukis mendekati golongan itu secara lebih dekat menerusi perspektif karya bagi mendidik orang ramai akan pengorbanan ibu tunggal.

Pelukis muda  Nik Mohd Shazmie Nik Shairozi, mengabadikan liku perjalanan golongan tersebut di dalam karya lukisan yang dihasilkannya.

Penolong Kurator Galeri Shah Alam, Iszuan Ismail bergambar di hadapan karya Nik Mohd Shazmie, Thorns and Grace Part I and II di pameran Derana 2025 di Shah Alam, tahun lalu.

Menurutnya, karya yang dihasilkan seperti sekuntum bunga yang dikelilingi duri iaitu Thorns and Grace Part I and II (2025), melambangkan kekuatan wanita yang terus mekar walaupun berdepan pelbagai rintangan hidup.

Katanya, melalui pemerhatiannya terhadap kenalan ibu tunggal yang bekerja dari pagi hingga malam demi menyara anak-anak menjadi antara dorongan utama dalam penghasilan karya tersebut.

“Saya simbolkan lukisan saya seperti sekuntum bunga yang dikelilingi duri, walaupun penuh halangan, mereka tetap mekar dan kuat.

“Saya juga ada kenalan ibu tunggal. Pagi dia jual kuih, tengah hari hantar anak sekolah, petang buat Grab, cabaran kehidupan mereka jauh berbeza daripada kaum lelaki di luar sana, tapi semangatnya luar biasa,” katanya.

Chong Ai Lei dan anaknya bersama hasil karya Floating dan Blooming (2025) yang disumbangkan di Pameran Derana

Sementara itu, aartis seni halus wanita terkenal, Chong Ai Lei, pula menyumbang karya Floating dan Blooming (2025) sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada wanita yang diuji kehidupan.

Menurut Ai Lei, setiap elemen dalam karya tersebut menggambarkan emosi, harapan dan tenaga positif seorang ibu tunggal yang terus berusaha bangkit demi anak-anak.

Sebagai seorang ibu, beliau berkata pengalaman peribadi membantunya memahami cabaran membesarkan anak sambil mengharungi realiti kehidupan yang penuh ketidakpastian.

“Setiap elemen dalam karya ini menggambarkan harapan, semangat dan tenaga positif yang ingin saya sampaikan kepada pengunjung, ia menunjukkan emosi seorang ibu tunggal.

“Saya berasa gembira dan bersyukur kerana dapat membantu wanita yang memerlukan, sebagai seorang ibu, saya memahami cabaran menjaga anak sambil mengharungi realiti kehidupan,” ujarnya.

Hasil karya Mastura Abdul Rahman Derana Diri Nan Sepi (2025) yang melambangkan Pameran Derana

Karya ‘Derana Diri Nan Sepi’ oleh Mastura Abdul Rahman pula menzahirkan perjalanan emosi seorang ibu tunggal yang sering melalui kehidupan dalam kesunyian namun tetap cekal menjalani rutin harian.

Jelasnya, kembali kepada Allah dan redha akan menjadikan kita kuat serta dapat mengangkat martabat.

Judul karya tersebut membawa maksud perlindungan diri dalam kesepian, melambangkan kekuatan dalaman wanita yang bersandar kepada iman, reda dan keteguhan jiwa ketika berdepan ujian hidup.

Melalui simbol akar, batang dan buah, karya ini mengangkat pengorbanan ibu tunggal sebagai asas kekuatan keluarga yang melahirkan generasi masa depan.

“Umpama pohon akar yang kuat, menghasilkan batang yang kukuh seterusnya dapat mengeluarkan buah yang baik,” ujar beliau.

Pendekatan seni yang diketengahkan membuktikan bahawa pengorbanan ibu tunggal bukanlah kelemahan, sebaliknya lambang keberanian dan daya tahan seorang wanita. Kesemua karya tersebut pernah dipamerkan kepada umum di beberapa pameran sebelum ini termasuk Derana 2025 di Galeri Shah Alam, tahun lalu.

Emira Aqilah
/ Published posts: 4

More than meets the eye, with a story to tell.