231 views 2 mins 0 comments

“Plogging” Pupuk Kesedaran Alam Sekitar

In Berita, Global
October 27, 2024
Sebahagian daripada peserta 'plogging' membawa bungkusan sampah yang dikutip sambil melakukan larian pada acara yang diadakan di Newport. Gambar: Ihsan EIRCD

Menggabungkan aktiviti fizikal dengan pembersihan alam sekitar bukanlah konsep baharu. Plogging, yang berasal dari bahasa Sweden “plocka upp”, maksudnya berlari sambil mengutip sampah. 

Aktiviti ini telah berkembang menjadi sebuah gerakan global untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Di Newport, idea itu telah diterima secara positif, dengan Eastern Rhode Island Conservation District (ERICD) bekerjasama dengan Rhode Races untuk menganjurkan acara plogging selepas perlumbaan. 

Pada 13 April 2024, acara ini bermula di Easton’s Beach. Jessica Cullinan Naib Pengerusi ERICD menyatakan plogging membantu mengekalkan keindahan Newport dan Middletown, mencegah sampah seperti pembungkus makanan dan cawan minuman daripada mencemari laut. 

Meg Belden, seorang pelari plogging yang berdedikasi tinggi, menyebarkan kesedaran tentang kelebihan kekal aktif sambil memelihara alam sekitar. Melalui pembersihan pantai yang kerap, dia mendorong orang lain untuk menyertai usaha yang mudah namun berkesan ini. 

Melalui plogging, para peserta bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih, tetapi juga menyebarkan kesedaran tentang kesan negatif pembuangan sampah.

Di Winnipeg, pesakit jantung telah menemui cara unik untuk menggabungkan senaman dengan pemuliharaan alam sekitar dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang dipanggil “plakking“, yang melibatkan berjalan dan mengutip sampah. 

Inisiatif ini, yang direka untuk individu yang mengalami masalah jantung, bertujuan untuk menggalakkan kesejahteraan fizikal di samping memberi manfaat kepada masyarakat. 

Kailey Evans, ahli fisiologi senaman di Reh-Fit Centre, menyokong inisiatif ini dan menegaskan bahawa berjoging adalah aktiviti berimpak rendah yang paling berkesan untuk pemulihan jantung. 

Usaha komuniti, seperti Heart Winnipeg Plakking Club dan acara plogging Newport Rhode Races, menggunakan cara kreatif untuk menggabungkan kesihatan, kecergasan dan tanggungjawab alam sekitar.