329 views 2 mins 0 comments

Konvokesyen UiTM ke-100: Disiplin, Bijak Urus Masa Rahsia Penjaga Gawang Pahang FC Tamat Pengajian

In Berita, Kampus, Sukan
November 17, 2024
Azfar mencuri perhatian ramai di Konvokesyen ke-100 UiTM dengan membuktikan bahawa mahasiswa yang juga seorang atlet mampu mencapai kejayaan dalam bidang akademik tanpa mengabaikan pencapaian dalam sukan.

SHAH ALAMDisiplin dan pengurusan masa efektif menjadi asas kejayaan penjaga gol pasukan Pahang FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri, yang baru-baru ini meraih ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) semasa Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Azfar mencuri perhatian ramai di Konvokesyen ke-100 UiTM dengan membuktikan bahawa mahasiswa yang juga seorang atlet mampu mencapai kejayaan dalam bidang akademik tanpa mengabaikan pencapaian dalam sukan.

Menurut beliau, menjadi atlet bukanlah alasan untuk bersikap sambil lewa sebaliknya perlu mencari inisiatif lain untuk mengikuti perkembangan pembelajaran

“Tahun 2023 saya bermain untuk Penang FC dan perlu tinggal di Pulau Pinang, mustahil untuk saya berulang alik ke Shah Alam ketika itu.

“Walaupun tidak hadir ke kelas secara fizikal tetapi saya cuba untuk sertai kelas secara atas talian melalui platform Google Meet dan kemudian belajar sendiri.

“Jika saya perlukan bantuan, saya akan berkomunikasi dengan rakan sekelas serta pensyarah agar tidak ketinggalan”,ujarnya.

Mengenang pengalaman bergelar seorang atlet dan mahasiswa serentak, Azfar mengimbau kenangan ketika beliau beraksi untuk UiTM FC pada tahun 2020.  

“Saya masih ingat, pada siangnya saya berada di Johor Bahru untuk peperiksaan MUET, dan malamnya saya berada di Shah Alam untuk menjaga gawang UiTM FC dalam perlawanan Liga Super 2020 (LS8).

“Ketika itu, pasukan kami bertemu Terengganu FC, dan saya berjaya membantu pasukan meraih kemenangan pada malam itu”, kongsinya.

Azfar bersama keluarga tercinta menghadiri Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi Azfar, UiTM FC menjadi platform yang memberi peluang kepada mahasiswa berbakat dalam sukan bola sepak untuk bersinar dan mengukir nama di peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, Azfar turut percaya bahawa kunci sebenar kejayaannya adalah dengan sentiasa mengingati pesanan kedua ibu bapa yang tercinta.  

“Ibu dan ayah selalu pesan, nak jadi orang yang berjaya, jangan tinggal solat,” tambahnya.

Kini berusia 25 tahun, Azfar tidak lupa mengungkapkan rasa terima kasih terhadap individu-individu yang banyak menyokong perjuangannya dalam mencapai segulung ijazah dan mengejar impian sebagai pemain bola sepak profesional.  

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sekelas, barisan pensyarah, dan isteri saya yang sentiasa membantu, terutamanya dalam menyelesaikan kajian saya,” tambahnya dengan penuh rasa syukur.

Solehah Azizan
/ Published posts: 6

Menginspirasi perubahan untuk dunia yang lebih baik dengan penulisan.