526 views 3 mins 0 comments

Lepasan SPM Jangan Jadi Pempengaruh, Hidup Ini Keras!

In Komentar, Pendidikan, Rencana
April 25, 2025
Keghairahan golongan remaja menjadi pempengaruh menyebabkan mereka hilang minat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Semalam 402,198 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 menerima keputusan peperiksaan masing-masing. Yang cemerlang pastinya tersenyum gembira saat melihat catatan skor pada slip keputusan yang diterima. Yang kurang berjaya faham-faham sahajalah perasan mereka.

Namun yang lebih menarik perhatian adalah sikap segelintir golongan ini yang pantas memasang angan-angan bergelar pempengaruh media sosial yang kaya-raya. Pada mereka, menyambung pengajian di universiti bukan lagi keutamaan kerana kononnya sudah ada alternatif lain untuk mencipta pendapatan lumayan dan dikenali.

Dalam era digital yang semakin berkembang, populariti seringkali diangkat sebagai simbol kejayaan. Namun, dalam keghairahan memburu pengikut dan tontonan, aspek pendidikan yang sepatutnya menjadi keutamaan telah menjadi perkara yang terakhir untuk difikirkan.

Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2023 mendedahkan lebih dua juta rakyat Malaysia berumur di bawah 24 tahun aktif di TikTok, meningkat 48.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini menunjukkan betapa besar pengaruh platform tersebut dalam kehidupan anak muda hari ini.

Namun begitu, menurut data yang dikeluarkan Forbes dan Influencer Marketing Hub, kurang daripada lima peratus pengguna media sosial yang benar-benar berjaya menjana pendapatan tetap daripada platform itu. Selebihnya hanya menghasilkan kandungan tanpa jaminan masa depan. Sudahnya, ramai yang mengabaikan peluang melanjutkan pelajaran demi mengejar cita-cita menjadi ‘viral’.

Menjadi pempengaruh bukanlah satu kesalahan. Tetapi perkara ini seharusnya dibina atas asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh. Dalam konteks ini, nama Khairul Aming sering dijadikan contoh pempengaruh tempatan yang berjaya bukan semata-mata kerana populariti, tetapi kerana latar belakang pendidikan dan strategi yang bijak.

Bukan sekadar ‘memasak di hadapan kamera semata-mata’, beliau sebenarnya merupakan graduan Kejuruteraan Mekanikal, dan pernah bekerja dalam bidang korporat sebelum beralih sepenuh masa ke dunia kandungan digital.

Selain berjaya menghasilkan produk ‘Sambal Nyet’ yang mencatat jualan lebih RM7 juta setahun, beliau juga telus dalam berkongsi data perniagaan dan cabaran yang dihadapi, menjadikannya bukan sekadar pempengaruh, tetapi usahawan digital berwibawa.

Secara realitinya, populariti di media sosial adalah bersifat sementara. Pempengaruh juga boleh mati ditelan algoritma. Kandungan yang tular hari ini mungkin dilupakan esok. Apabila trend berubah, individu yang tidak bersedia dengan kelayakan atau kemahiran lain berisiko kehilangan sumber pendapatan dan arah tuju hidup.

Laporan JobStreet Malaysia pada 2022 menjelaskan bahawa 75 peratus majikan di Malaysia masih mengutamakan kelayakan akademik dalam proses pengambilan pekerja, termasuk industri kreatif. Jelas sekali, ilmu adalah asas kepada apa juga pekerjaan yang mahu dilakukan, bukannya populariti.

Sikap terlalu mengejar kemasyuran di dunia maya boleh membinasakan diri. Ini termasuklah mendedahkan diri kepada penipuan kewangan, tekanan mental akibat buli siber dan hilang fokus terhadap potensi sebenar diri mereka. Keseronokan mencipta kandungan tidak seharusnya mengaburi keperluan membina masa depan yang stabil dan berwawasan.

Pendidikan tidak seharusnya dianggap sebagai halangan, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang. Keghairahan menjadi pempengaruh boleh diteruskan, namun perlu diperkukuh dengan pengetahuan, disiplin dan rasa tanggungjawab terhadap diri dan masyarakat.

Jadi, buat adik-adik lepasan SPM, nak jadi pempengaruh? Silakan. Tetapi persiapkan diri dengan ilmu secukupnya kerana hidup ini keras!

Zairain Zaidi
/ Published posts: 3

Jambatan untuk suara yang kurang didengari dan yang sering dianggap tiada erti.