654 views 3 mins 0 comments

Peniaga Kecil Taman Sri Muda Rayu Penyelesaian Segera, Gesa Operasi Rumah Pam Dimaksima

In Berita, Komuniti
April 28, 2025
Hanya satu daripada tiga pam di rumah pam Taman Sri Muda didakwa berfungsi menyebabkan kawasan tersebut berisiko dilanda banjir lagi selepas ini.

SHAH ALAM– Komuniti peniaga kecil di Taman Sri Muda menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) agar sistem rumah pam yang baharu dapat dioperasikan secara maksima bagi mengurangkan risiko banjir yang sering melanda kawasan mereka, terutamanya ketika hujan lebat.

Desakan itu timbul susulan kejadian banjir kilat pada Rabu minggu lalu yang menyebabkan beberapa laluan utama seperti Jalan Taman Sri Muda dan Taman Desa Kemuning terpaksa ditutup.

Dakwa mereka, keadaan tersebut menjejaskan aktiviti harian penduduk dan memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan, khususnya dalam kalangan peniaga kecil.

Keadaan banjir yang berlaku di Taman Sri Muda pada pagi Rabu

Pemilik gerai makanan, Sri, 34, berkata dia turut menanggung kerugian apabila gerainya tidak dapat beroperasi disebabkan jalan ditutup.

“Punca utama masalah ini adalah kerana hanya satu daripada tiga pam air di rumah pam kawasan tersebut yang berfungsi ketika hujan lebat, sedangkan kapasiti air sangat tinggi dan memerlukan sistem saliran yang lebih efisien.

“Di sini sebenarnya ada tiga pam air, tapi yang berfungsi hanya satu sahaja. Bila hujan sangat lebat, pam yang tunggal itu tidak mampu mengepam air dengan cukup cepat, lalu menyebabkan banjir tetap berlaku,” katanya.

Tambahnya, situasi tersebut menyebabkan perniagaannya terpaksa ditutup dan menanggung kerugian. 

“Bila gerai tak boleh buka, makanan tak terjual, tapi sewa tapak perniagaan tetap perlu dibayar. Mana mungkin ada keuntungan kalau situasi ini berterusan,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Asih Haryati Sukardi, 55, berkata beliau turut mengalami kerugian apabila terpaksa membuang banyak makanan yang tidak dapat dijual akibat ketiadaan pelanggan.

“Bila air naik, pelanggan tak boleh datang. Banyak makanan terpaksa dibuang. Harga barang juga semakin meningkat. Kalau sehari tak dapat berniaga, kesannya sangat terasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka menggesa pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) agar segera mengambil tindakan dan meneliti semula keberkesanan sistem saliran yang digunakan.

“Saya sudah 15 tahun tinggal di sini. Kejadian banjir sudah berulang kali berlaku. Ini adalah tanggungjawab JPS dan MBSA. Kami sebagai penduduk hanya mampu memberi cadangan,” tegas Sri.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah supaya rumah pam diselenggara secara berkala dan tidak hanya apabila banjir berlaku.

Mereka juga berharap ketiga-tiga pam air yang tersedia dapat diaktifkan sepenuhnya untuk memastikan sistem saliran berfungsi dengan optimum ketika hujan lebat.

Nurdzalifah Hanim Noradzman
/ Published posts: 3

Pejuang yang bersuara dengan pena.