831 views 2 mins 0 comments

Buku Ilustrasi Rangsang Minat Membaca Kanak-Kanak Seawal Usia Muda

In Komuniti
July 13, 2025
Mastura Muhammad (tengah) meneliti salah sebuah buku ilustrasi kanak-kanak yang dipamerkan di Persidangan Kebangsaan Ilustrasi Buku Kanak-Kanak 2025 di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, pada Sabtu.

SHAH ALAM – Pendedahan kepada buku berkonsep ilustrasi dilihat mampu merangsang minat membaca dalam kalangan kanak-kanak seawal usia muda berikutan keupayaannya menghubungkan imaginasi dan pemahaman isi kandungan bahan yang dibaca.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhammad berkata, kualiti ilustrasi dan kandungan dalam buku bergambar memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat membaca yang berkekalan.

“Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa ilustrasi memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman, kerana kanak-kanak cenderung mentafsir dan memahami makna melalui gambar.

“Ilustrasi dalam buku kanak-kanak bukan sekadar hiasan, tetapi berfungsi sebagai jambatan penting yang menghubungkan imaginasi dengan pemahaman isi kandungan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ilustrasi Buku Kanak-Kanak 2025 yang berlangsung di Pustaka Raja Tun Uda, di sini, pada Sabtu.

Persidangan anjuran bersama Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Universiti Selangor (UNISEL) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu menghimpunkan penulis, ilustrator, pendidik serta penggiat industri kreatif tempatan.

Mengulas lanjut Mastura berkata, ibu bapa memainkan peranan besar dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil.

“Peranan ibu bapa amat penting kerana minat membaca tidak akan lahir secara tiba-tiba, sebaliknya perlu dipupuk dari rumah sejak usia awal,” tegasnya.

Tambahnya lagi, bahan bacaan untuk kanak-kanak harus dipilih dengan teliti agar selari dengan nilai pendidikan dan imaginasi yang sihat.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan sebarang bahan bacaan kepada anak-anak tanpa menilai kandungannya terlebih dahulu.

“Kualiti ilustrasi dan kandungan dalam buku bergambar memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat membaca yang berkekalan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru agar lebih banyak buku bergambar diterbitkan dalam bentuk fizikal berbanding hanya versi digital.

“Kita perlukan lebih banyak buku bercetak yang boleh disentuh, dilihat dan dihayati oleh anak-anak kerana medium fizikal ini lebih berkesan dalam membentuk imaginasi mereka,” tambahnya.

Farhana Nizam
/ Published posts: 4

Menulis bukan untuk disukai, tapi untuk menyedarkan.