1119 views 2 mins 0 comments

Lebih 10,000 Serbu FESMA 2025

In Berita, Kampus
November 06, 2025
Suasana meriah di dataran Riverbank, Kolej Kediaman Delima ketika program ceramah Malam Cinta Palestin pada hari kedua FESMA 2025 (Foto: JPK Kolej Kediaman Delima)

SHAH ALAM — Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Festival Delima (FESMA) 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang diadakan di Kolej Kediaman Delima, di sini pada 30 Oktober hingga 2 November 2025 lalu.

Pengarah Program, Muhammad Raziff Razak, 21, berkata, sambutan terhadap festival tersebut sememangnya jauh melebihi jangkaan pihaknya iaitu sekitar 1,000 pengunjung.

“Bilangan (pengunjung) yang hadir begitu ramai sehingga melimpahi kawasan dataran kolej yang menjadi venue utama penganjuran program.

“Selain warga kampus, terdapat juga pengunjung daripada luar yang hadir bersama rakan dan ahli keluarga mereka selepas mengetahui mengenai acara ini melalui penghuni kolej dan media sosial,” katanya kepada Shah Alam Times.

FESMA adalah program yang diadakan untuk mempromosi dan membudayakan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti jualan dan promosi pelbagai produk  yang dihasilkan sendiri oleh pelajar dan usahawan kecil dan sederhana (IKS).

Program yang mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) mendapat penyertaan lebih daripada 20 vendor jualan daripada dalam dan luar kampus.

Beberapa aktiviti lain seperti Jualan Rahmah, ceramah Malam Cinta Palestin, perkongsian bersama pempengaruh media sosial, serta pertandingan nyanyian turut diadakan sepanjang festival berlangsung.

Menurut Muhammad Raziff lagi, FESMA membuka peluang luas kepada mahasiswa berkecimpung dan mempelajari selok-belok dunia perniagaan seawal pengajian di kampus.

“Program seperti ini mendedahkan pelajar kepada kemahiran menguruskan perniagaan seperti pengurusan kewangan, pemasaran, serta perancangan strategik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Prof. Madya Dr. Badrul Isa, dalam ucapan perasmian penutup berkata, UiTM memuji penglibatan pelajar dalam menjayakan festival tersebut.

“FESMA membuktikan pelajar kita bukan sekadar tahu belajar, tetapi menjadi platform untuk mereka tunjukkan kemahiran memimpin dan menghasilkan sesuatu yang memberi impak.

“MASMED selaku rakan kolaborasi akan terus memberikan nasihat dan sokongan kepada program-program yang berbentuk keusahawanan dan pengembangan bakat,” katanya.

Imran Asmaruzi
/ Published posts: 3

Informasi mengubah persepsi