SHAH ALAM – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam terus mengukuhkan jalinan kerjasama antarabangsa melalui kehadiran delegasi OPPO Malaysia dan China sebagai inisiatif mendekati mahasiswa dalam memahami gaya hidup mereka.
Dalam rangka lawatan singkat ke UiTM Shah Alam pada Jumaat lepas, tujuan lain kunjungan delegasi berkenaan adalah bagi meneliti kemudahan akademik yang ada khususnya di FKPM dan UiTM.

Pengurus media OPPO Malaysia, Georgia Khor berkata, objektif utama lawatan ini diadakan adalah untuk melihat rutin harian mahasiswa, termasuk kaedah pembelajaran serta corak penggunaan kandungan di media sosial.
“Kami ingin memahami bagaimana pelajar belajar, jenis kandungan yang mereka gemari di media sosial serta gaya hidup mereka.
“Daripada itu, kami boleh menghasilkan kandungan yang lebih relevan untuk berinteraksi dan mendekati mereka dengan lebih dekat,” katanya kepada Shah Alam Times.

Mengulas mengenai pengalamannya berada di UiTM, Georgina menyifatkan persekitaran universiti ini amat luas serta sangat meriah dengan kehadiran pelajar yang ramai.
“Ini merupakan kunjungan pertama saya melawat ke sini. Sebelum ini saya menyangka universiti pertama Malaysia adalah yang paling besar, namun kampus ini benar-benar melangkaui jangkaan saya,” ujarnya.
Dalam lawatan tersebut, delegasi OPPO dibawa meninjau fasiliti seperti bilik berita dan studio TV yang digunakan oleh pelajar bagi tujuan pembelajaran dan latihan praktikal, khususnya dalam bidang kewartawanan.
Lawatan ini memberi peluang kepada wakil OPPO untuk melihat secara lebih dekat persekitaran pembelajaran berasaskan industri yang diterapkan di fakulti berkenaan.
Langkah proaktif ini membuktikan komitmen berterusan OPPO dalam memahami keperluan pengguna serta menyesuaikan inovasi produk mereka dengan trend semasa pelajar universiti.
