SHAH ALAM – Kejohanan Thirteen Rhino Challenge 2026 menjadi platform penting dalam pembangunan sukan ragbi akar umbi apabila berjaya menghimpunkan 40 pasukan dari seluruh Semenanjung Malaysia, Sabtu lalu.
Berlangsung di Sungai Buloh, kejohanan ini diadakan bukan sekadar untuk atlet beraksi merebut kemenangan, namun memberi pendedahan buat pemain baharu untuk merasai pengalaman beraksi dalam kejohanan kompetetif.
Presiden Thirteen Rhino Club Shah Alam, Dzulhasnan Zainal Abidin, 46, berkata penganjuran kali kedua ini difokuskan sepenuhnya untuk menggilap bakat seawal usia tujuh tahun.
Dia juga berharap kejohanan ini dapat memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai keselamatan sukan tersebut.
“Tujuan kita ialah mengasah bakat akar umbi, jadi kita terapkan disiplin keselamatan supaya anak-anak tahu cara menghadapi lawan dan tidak bermain secara semberono,
“sekaligus mengubah stigma ibu bapa yang merasakan ragbi ini sukan yang membahayakan”, katanya pada Shah Alam Times
Antara acara yang dipertandingkan adalah, kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun (U12), kategori lelaki bawah 10 tahun (U10), bawah 11 (U11), dan kategori campuran bawah lapan tahun (U8).

Dalam kategori campuran (U8), Bangi Hunters muncul juara selepas menewaskan Putra dengan mata 20-19 dalam aksi final yang berlangsung sengit.
Bagi kategori (U10), Setiawangsa Knights berjaya menundukkan KL Saracens dengan mata 17-12 dan membawa pulang kejuaraan.

Sementara itu, Cobrats turut mencatat kemenangan bagi kategori (U11) selepas menewaskan Penang All Blues dengan mata 21-7 pada perlawanan akhir.
Dalam kategori (U12) lelaki, Bangi Hunters menunjukkan aksi dominan apabila menewaskan Thirteen Rhino dengan mata 38-5,
manakala Gabungan Dari Selatan (GDS) menjuarai kategori (U12) perempuan selepas mengatasi Bangi Hunters dengan mata 15-10.

Kejohanan ini juga turut mendapat tajaan daripada Yayasan Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin.
