43 views 2 mins 0 comments

Ketiadaan Bas Kampus Musim Konvokesyen Tambah Beban Kewangan Pelajar Ikuti Aktiviti Di Makmal

In Uncategorized
May 18, 2026
Ketiadaan bas ketika musim konvokesyen memberi kesan kepada pelajar yang terlibat dengan aktiviti pembelajaran di makmal.  Gambar kecil: Hurul Ain Amira (kiri), Nur Raeda Nasira (kanan)

SHAH ALAM, 5 Mei – Ketiadaan kemudahan bas kampus ketika musim konvokesyen memaksa sebilangan pelajar UiTM, khususnya yang terlibat dengan aktiviti makmal,  mengeluarkan perbelanjaan lebih bagi menampung kos pengangkutan untuk ke kuliah.

Menurut Hurul Ain Amira, 20, sepanjang tempoh konvokesyen, dia membelanjakan sebanyak RM30 sehari untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi tujuan berulang daripada rumah sewanya ke fakulti.

“Untuk perjalanan seharian dari rumah sewa di i-Soho ke Fakulti Sains Gunaan, saya perlu membayar antara RM9 dan RM10 sehala, dan andaikata semasa waktu puncak, perjalanan sehala boleh cecah hampir RM20.

“Ketiadaan bas kampus benar-benar membebankan kerana saya perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi memastikan saya dapat mengikuti latihan amali yang diadakan di makmal fakulti,” katanya.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 yang bermula 6 hingga 23 Mei 2026 melibatkan lebih 36,000 graduan dari kampus induk UiTM Shah Alam dan semua cawangan di seluruh negara.

Menurut Hurul Ain Amira lagi, beberapa rakannya yang menyewa di kawasan lebih jauh perlu mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk perkhidmatan e-hailing.

“Pelajar yang tinggal di Ken Rimba atau Suria Jaya perlu membayar antara RM18 hingga RM24 sehala kerana kawasan itu adalah hotspot kesesakan trafik, jadi pemandu e-hailing mengelak daripada pergi ke kawasan itu untuk mengambil penumpang.

“Saya harap pihak universiti atau fakulti boleh sediakan pengangkutan van dengan kekerapan perjalanan tiga ke empat kali sehari yang memadai untuk kami pelajar yang terlibat dengan amali makmal di fakulti,” jelasnya lagi.

Bagi Nur Raeda Nasira Ezren Zeffirelli, 24, dia perlu menanggung perbelanjaan e-hailing tiga kali ganda untuk ke fakulti.

“Dari Pangsapuri Baiduri ke Fakulti Kejuruteraan Kimia, sehala biasanya RM5, tetapi pada waktu puncak, sehala boleh cecah hampir RM15 untuk jarak perjalanan sekitar tiga kilometer itu,” katanya.

Suraya Mohd Asri
/ Published posts: 2

Striving for truthful storytelling