SHAH ALAM – Krisis bekalan global dilihat memberi kesan kepada ekonomi mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT), sekaligus memaksa mereka untuk mengubah corak perbelanjaan harian.
Tinjauan oleh Shah Alam Times mendapati rata-rata mahasiswa IPT sekitar Shah Alam mengalami tekanan yang sama apabila kos sara hidup mereka mengalami peningkatan yang mendadak, terutamanya barangan asas dan keperluan akademik.
Penuntut IPT, Farisha Laily Mohamad Fadzil, 26, berkata golongan mahasiswa terkesan kerana tiada punca pendapatan yang tetap dan hanya bergantung pada elaun dan bantuan kewangan.
Tambahnya, ini turut mengakibatkan nilai wang yang diperolehi dan dimiliki tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.
“Dahulu, dengan nilai RM10 kita boleh membeli set nasi berlauk bersama air, namun kini nilai RM10 hanya boleh membeli nasi dan lauk sahaja, minuman pula hanya minum air mineral.
“Kesannya, kita akan jadi lebih berkira dan kadang-kala kita terpaksa mengorbankan kemahuan demi keperluan,” katanya kepada Shah Alam Times.
Tambah Farisha, dia merasa terbeban dengan kenaikan harga barang seperti telur, ayam dan minyak masak yang naik sekitar satu hingga dua ringgit.
Farisha juga memilih untuk bekerja sambilan untuk menampung sedikit perbelanjaan harian.
“Meskipun saya membuat pinjaman pendidikan, ia hanya cukup untuk saya bayar rumah sewa selama enam bulan.
“Jadi, saya terpaksa bekerja untuk tampung duit rumah sewa dan pastikan hujung bulan saya tidak makan mi segera setiap hari,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pelajar sepenuh masa IPT, Fatin Nasuha Mohamad, 22, berkata lonjakan harga bahan api yang tinggi khususnya minyak kenderaan, menyukarkan dirinya yang perlu memandu ke kampus untuk menghadiri kelas.
“Disebabkan isu kenaikan harga minyak global ini juga, saya telah memulakan mod bertahan hidup sebagai pelajar yang berhemah kerana perlu bijak menguruskan wang saku.
“Selain itu, saya juga bekerja sambilan dengan membawa e-hailing selepas waktu kelas bagi menampung kos dan perbelanjaan harian,” jelas Fatin Nasuha.
Tambahnya lagi, susulan kenaikan harga minyak global, dia perlu lebih berdisiplin dalam mengurus kewangan dengan membahagikan wang yang diterima daripada bapanya serta-merta bagi memastikan perbelanjaan harian dapat dikawal dengan lebih teratur.
