169 views 2 mins 0 comments

MPP CARE perkukuh jaringan kebajikan mahasiswa

In Berita, Kampus
June 06, 2026
Program Kongsi Rezeki antara inisiatif MPP Care santuni mahasiswa UiTM Shah Alam.

SHAH ALAM – Inisiatif MPP CARE menerusi gabungan program ‘Kongsi Rezeki’ dan ‘Ready2Exam’ yang dilaksanakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) terus memperkukuh jaringan kebajikan mahasiswa dengan menyalurkan bantuan kepada pelajar yang memerlukan.

Pelaksanaan serentak kedua-dua program itu bertujuan memastikan lebih ramai mahasiswa menerima manfaat, khususnya dalam usaha mengurangkan beban kewangan menjelang musim peperiksaan.

Penolong Naib Yang Dipertua Kebajikan Mahasiswa, Taufik Razlan berkata, MPP sentiasa mendengar permasalahan dan aduan mahasiswa.

“Amanah kepimpinan mewajibkan kami sentiasa mendengar aduan mahasiswa kerana keterbatasan untuk menyelesaikan semua isu bukan alasan untuk menghentikan usaha kebajikan ini,” katanya.

Temubual bersama MPP Taufik berkenaan MPP CARE

Program berkenaan memberi tumpuan kepada aspek kebajikan harian mahasiswa selain membantu mereka membuat persediaan dari segi mental dan keperluan asas.

Sebanyak 200 pek kelengkapan peperiksaan atau exam kit serta 50 pek makanan diagihkan kepada mahasiswa di Dataran Cendekia, di sini membabitkan 250 pelajar.

Usaha berkenaan dibiayai menerusi dana dalaman MPP dan sumbangan penaja.

Barisan MPP yang terlibat dalam program Kongsi Rezeki

Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Amirah Ghani, 21, berkata inisiatif berkenaan dilihat tepat pada masanya terutama bagi membantu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan pada penghujung semester.

“Inisiatif kebajikan seperti ini amat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar, khususnya mereka yang perlu berjimat cermat menjelang peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Wan Shamsuddin, 23, berkata sumbangan makanan dan kelengkapan peperiksaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan harian mahasiswa.

“Jika digabungkan, nilai keseluruhan barangan keperluan ini boleh mencecah RM10 dan kosnya agak tinggi di pasaran, justeru kami amat bersyukur kerana bantuan ini diberikan secara percuma,” katanya.

Komitmen berterusan MPP menerusi pelaksanaan program kebajikan itu membuktikan keprihatinan barisan kepimpinan mahasiswa dalam menyediakan sistem sokongan yang lebih menyeluruh kepada warga kampus

Farhan Ramlan
/ Published posts: 1

The truth can’t die when journalism lives