398 views 2 mins 0 comments

Beri Kepercayaan Kepada Kepimpinan MPP Baharu – Dr Mohd Sazili

In Berita, Kampus
November 18, 2024
Dr Mohd Sazili bersama calon yang memenangi sesi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam di sini, pada Khamis.

SHAH ALAM – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi mengajak mahasiswa universiti tersebut memberi sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih pada pilihan raya kampus (PRK), Khamis lalu.

Katanya, hal ini kerana semua aktiviti kempen dan pemilihan yang dijalankan pada PRK tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh jawatankuasa pemilihan sendiri tanpa sebarang campur tangan pihak universiti.

“Tidak timbul (per)soal(an) main kotor sebab pengurusan UiTM sendiri pun (dan) saya di peringkat HEP tidak langsung mencampuri urusan pemilihan ini.

“Saya datang hari ini untuk meraikan sahaja calon-calon yang menang. Jadi tidak ada langsung campur tangan HEP dalam menguruskan hal ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Sazili menzahirkan rasa bangga terhadap peningkatan peratusan keluar mengundi keseluruhan di UiTM yang meningkat kepada 72.27 peratus berbanding 71.51 pada PRK sebelumnya.

“Kejayaan ini (peningkatan peratus keluar mengundi) menunjukkan bahawa kesedaran para pelajar untuk mengundi semakin bertambah.

“Hal ini adalah sesuatu yang positif di mana mampu membantu sistem demokrasi dalam kepimpinan negara. Kita lihat tahap kematangan siswazah kita dalam memilih pemimpin mereka,” tambahnya.

Dr. Mohd Sazili bergambar bersama beberapa orang Jawatankuasa Pelaksana Fakulti, Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP) UiTM Shah Alam.

Untuk rekod, seramai 65 orang calon mengambil bahagian di 15 buah fakulti bagi merebut 30 kerusi yang dipertandingkan untuk membentuk barisan MPP sesi 2024/2025.

Calon Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Muhammad Haziq Sabri, 21, dipilih sebagai Yang DiPertua MPP yang baharu selepas berjaya mendapat sokongan sebulat suara kesemua ahli MPP yang menang.

Solehah Azizan
/ Published posts: 6

Menginspirasi perubahan untuk dunia yang lebih baik dengan penulisan.