463 views 2 mins 0 comments

AI Tidak Boleh Tandingi Kemampuan Wartawan Sebenar – Pakar

In Berita, Kampus
November 28, 2024
Walaupun kecerdasan buatan (AI) mampu membantu meningkatkan kecekapan operasi bilik berita, namun teknologi tersebut dilihat tidak dapat memenuhi tuntutan etika, empati, dan objektif kewartawanan profesional.

SHAH ALAM – Keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat masih belum mampu menandingi kemampuan wartawan sebenar dalam menghasilkan laporan berita berkualiti, demikian kata pakar.

Pensyarah Ilmu Komunikasi, Universitas Paramadina, Indonesia, Andry Susanto, menjelaskan bahawa AI hanya berfungsi sebagai alat sokongan dan bukannya pengganti wartawan.

Sebaliknya katanya, ketergantungan penuh kepada teknologi tersebut boleh mengakibatkan berita yang dihasilkan kurang tepat kerana tidak melalui proses editorial yang merupakan nadi penting operasi sesebuah bilik berita.

“AI tidak dapat meniru nilai-nilai kemanusiaan yang penting dalam kewartawanan. Ia hanyalah alat, dan tanggungjawab untuk memastikan laporan berita beretika (masih) terletak sepenuhnya kepada wartawan,” katanya semasa menjadi panel e-Kolokium Kewartawanan ke-50 anjuran pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), pada Selasa.

Memberi contoh fenomena penyebaran berita tidak tepat yang dihasilkan melalui AI oleh individu atau kumpulan kecil di Indonesia yang digelar media tanpa tuan (homeless media), Andry mengingatkan pengguna media supaya bijak dalam menilai maklumat yang diterima.  

“Berita yang dihasilkan mereka sering kali tidak mempunyai kredibiliti. Hal ini memberi impak negatif kepada kewartawanan, terutama dalam kalangan generasi muda yang lebih cenderung mendapatkan berita di media sosial,” tambahnya lagi.

Pandangan tersebut turut disokong Wartawan Penyiaran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Dhiyaulhaq Hamzah, yang menyifatkan AI sebagai alat yang berguna tetapi masih memerlukan campur tangan manusia untuk memastikan ketepatan fakta. 

Ujarnya, AI tidak boleh membezakan antara fakta dan spekulasi. Di sinilah wartawan memainkan peranan penting untuk memastikan berita yang disampaikan adalah sahih

“AI tidak boleh menggantikan pengalaman wartawan di lapangan yang perlu berada di lokasi, memahami situasi, dan memastikan maklumat yang diperoleh adalah sahih sebelum diterbitkan,” tegasnya.

Sementara itu, Pegawai Strategi Komunikasi Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM), Abdul Rahman Khairuddin, menegaskan bahawa teknologi AI perlu digunakan dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan prinsip kewartawanan. 

“AI hanya alat untuk membantu, bukan menggantikan. Wartawan masih perlu memegang tanggungjawab untuk memastikan berita yang disampaikan berintegriti,” katanya.

Amylia Rizan
/ Published posts: 2

Mengupas Makna Dalam Setiap Perincian, Dan Merungkai Nilai Kemanusiaan Di Sebalik Setiap Laporan