
SHAH ALAM – Arkitek tersohor negara, Hijjas Kasturi dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus sempena Istiadat Konvokesyen Ke-101 Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berlangsung hari ini, di sini.
Istiadat yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor disempurnakan Pro-Canselor, Tan Sri Zarinah Anwar dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Canselor UiTM.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai jasa Hijjas yang banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan seni bina negara.
“Sumbangan Hijjas sangat besar dan memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan tinggi bumiputera selain turut menjadi penggerak awal kepada pendidikan seni bina di Malaysia,” katanya.
Antara sumbangan beliau termasuk menjadi pengasas kepada School of Applied Arts Institut Teknologi MARA (ITM) 1997 yang kini dikenali sebagai Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU) dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR).
Hijjas, 86, dikenali sebagai Bapa Seni Bina Malaysia pada separuh abad ke-20 melalui karya ikonik beliau seperti Menara Maybank dan Menara Telekom.
Sementara itu, Hijjas ketika ditemui melahirkan rasa teruja dan bersyukur dengan penganugerah yang disifatkan sebagai terhebat dalam hidupnya.
Dalam nada merendah diri, pengasas Hijjas Kasturi Associate itu memberitahu, penglibatan dan sumbangannya kepada masyarakat bukan untuk mengejar pengiktirafan mana-mana pihak.
“Kita memberikan sumbangan dan mengajar dengan jiwa kepada masyarakat, bangsa dan negara bukan semata-mata kerana penganugerahan.
“Apabila kita lakukan yang terbaik, segala penghargaan datang dengan sendiri kepada kita,” katanya.
Istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai 26,696 graduan bakal menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang.
Dalam perkembangan lain, UiTM juga menerima peruntukan sebanyak RM20 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi memperkasa peranan universiti itu dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi, sejajar dengan keperluan tenaga pakar bumiputera dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).
UiTM turut melaksanakan penstrukturan semula akademik yang menyaksikan empat kolej pengajian distrukturkan kepada sepuluh fakulti bermula Mei 2025, sebagai usaha menambah baik kecekapan tadbir urus serta memperkukuh bidang penyelidikan dan akademik.