240 views 2 mins 0 comments

Gajah Lapar Geledah Kedai Runcit Cari Makanan

In Global
June 12, 2025
Gajah jantan bernama Plai Biang Lek merosakkan kedai untuk mendapatkan keropok pulut manis di sebuah kedai runcit di daerah Pak Chong dalam wilayah Nakhon Ratchasima, minggu lalu (Foto: Kanokporn Sriboon, AP)

BANGKOK: Seekor gajah liar mencetuskan kekecohan apabila ‘menggeledah’ sebuah kedai runcit di daerah Pak Chong dalam wilayah Nakhon Ratchasima yang terletak sekitar satu kilometer dari pintu masuk Taman Negara Khao Yai. 

Gajah jantan yang bernama Plai Biang Blek itu dianggarkan berusia 30 tahun terkenal dalam kalangan penduduk setempat kerana sering memasuki rumah penduduk untuk mencari makanan.

Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama haiwan liar tersebut dilihat memasuki premis perniagaan. 

Menurut saksi, gajah yang sering dilihat keluar dari taman negara itu berhenti di hadapan kaunter dan mengambil serta memakan snek secara santai serta tidak berganjak walaupun dihalau dari kedai oleh pekerja di situ.

Antara makanan yang diambil adalah snek, termasuk beberapa bungkusan keropok pulut manis, sandwic dan pisang kering, sebelum melangkah keluar dari kedai dengan sebungkus makanan tergantung di hujung belalainya. 

Berikutan kejadian tersebut, beberapa kerosakan kecil dikesan di beberapa bahagian premis berkenaan termasuk lantai dan siling, selain kotoran lumpur yang ditinggalkan gajah tersebut. 

Sementara itu, seorang sukarelawan taman, Danai Sookkanthachat berkata, 

selepas meninggalkan premis perniagaan tersebut, mamalia itu menuju ke sebuah rumah berdekatan sambil cuba membuka tingkap bilik dan dipercayai masih mencari makanan.

“Haiwan liar dari taman negara ini sering berada di kawasan luar taman, malah pernah dilihat di restoran dan gerai makanan sebelum ini,” tambahnya. 

Menurut Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, dianggarkan sebanyak 4,000 gajah liar di Thailand pada 2024 dan peningkatan kejadian seperti ini dikaitkan dengan pengecilan habitat semula jadi gajah akibat pembukaan ladang dan pembangunan di kawasan sekitar taman negara.

Nadhirah Fattah
/ Published posts: 3

Menulis sebab dunia perlu tahu, bukan menulis hanya bila perlu.