
SHAH ALAM- Kehadiran 110 peserta ke kursus pengurusan jenazah anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), Kolej Kediaman Anggerik serta kursus Kokurikulum Kerohanian mendapat maklum balas positif daripada para peserta yang mengambil bahagian.
Kursus yang berlangsung hasil sumbangan tabung masjid UiTM itu menjadi nilai tambah buat mahasiswa, selain mengisi waktu hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat.
“Sebelum ini saya dapat tengok melalui TV sahaja. Apabila saya hadiri kursus ini, saya ambil peluang untuk lalui sendiri perasaan dibaluti dengan kain putih, justeru menimbulkan keinsafan buat diri saya,” kata Noor Aqilah Mohamad Suhaimi, peserta yang menawarkan diri menjadi ‘jenazah’ bagi sesi amali bahagian wanita.

Tambah Noor Aqilah, golongan muda perlu mengambil tanggungjawab mendalami ilmu fardu kifayah ini kerana ia merupakan amanah terakhir yang perlu dibereskan daripada orang yang masih hidup kepada orang yang telah meninggal dunia.
Seorang lagi peserta, Ismat Ismail, berkata pendekatan amali yang diterapkan meningkatkan minat dan pemahaman peserta terhadap pengisian kursus.
“Ilmu pengurusan jenazah mungkin telah dipelajari sejak di bangku sekolah namun ilmu amalinya masih tidak menyeluruh seperti yang dijalankan di sini.
“Pengalaman menguruskan jenazah merupakan sesuatu yang mencabar tetapi seronok,” ujarnya.
Sementara itu, peserta kursus dinasihatkan supaya mengambil iktibar daripada apa yang dipelajari semasa kursus sekiranya mahu menjadi seorang pengurus jenazah yang baik.
“Kesungguhan, keyakinan dan komitmen ialah tiga ciri penting yang perlu ada pada seorang pengurus jenazah. Jadikan pengalaman menguruskan si mati sebagai satu proses refleksi diri serta muhasabah,” ujar Syapiah Othman, salah seorang fasilitator yang mengendalikan tutorial memandikan dan mengkafankan jenazah wanita.
Turut hadir penceramah dari Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd ‘Asri Him yang mengisi slot pertama berkaitan teori daripada proses menjaga orang sakit sehingga proses pengebumian serta komuniti Unit Pengurusan Jenazah Muslimat, Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 (UPJMAI13).