
KUALA LUMPUR– Skim Buy Now, Pay Later (BNPL) semakin popular dalam kalangan belia dan dikenal pasti sebagai antara punca peningkatan tabiat perbelanjaan tanpa kawalan dan beban hutang dalam kalangan generasi muda.
Diperkenalkan sebagai kaedah pembayaran fleksibel, BNPL kini menjadi ‘perangkap kewangan’ sehingga mendorong pengguna membuat komitmen melebihi kemampuan sebenar.
Bagi meningkatkan kesedaran tentang risiko tersebut, kempen literasi kewangan Simpan Elok, Elak Leka (SELEKA) diperkenalkan sebagai inisiatif mendidik belia agar lebih berdisiplin dalam menguruskan perbelanjaan.
Pengerusi Kempen SELEKA, Siti Sarah Umairah Yuhanis @ Ismail berkata kempen tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menolak sepenuhnya penggunaan BNPL tetapi untuk mengingatkan pengguna agar lebih bijak membuat pilihan.
“BNPL masih relevan dalam situasi tertentu seperti kecemasan tetapi ia memerlukan disiplin dan kawalan diri supaya tidak disalah guna,” katanya.
Menurut Siti Sarah, ramai pengguna terperangkap dalam perbelanjaan berlebihan kerana gagal membezakan antara keperluan dan kehendak selain tidak menyedari kemampuan kewangan sebenar.
“Generasi muda perlu sentiasa peka dengan had kewangan mereka sebelum membuat sebarang keputusan pembelian, lebih-lebih lagi dalam tawaran mudah beli seperti BNPL,” ujarnya.
SELEKA mengetengahkan pendekatan pembelajaran interaktif menerusi permainan stesen sebagai kaedah menarik minat golongan muda mempelajari asas pengurusan kewangan.
Melalui aktiviti tersebut, peserta didedahkan kepada konsep hutang, bayaran ansuran dan perbelanjaan berhemah dalam suasana yang menyeronokkan dan mudah difahami.
Pensyarah Kanan Periklanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Raja Putri Nadiah Raja Ahmad berkata trend penggunaan BNPL yang tidak terkawal juga boleh memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan kewangan generasi muda.
“Statistik menunjukkan dalam beberapa tahun akan datang lebih ramai golongan Generasi Z berisiko hidup tanpa aset kerana terjerat dengan tabiat berbelanja secara berlebihan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pencegahan awal perlu diberi keutamaan bagi memastikan belia tidak terus hanyut dalam budaya berbelanja tanpa kawalan.
“Perbelanjaan memang tidak dapat dielakkan, tetapi belia perlu tahu untuk berbelanja dalam had kemampuan dan mengutamakan keperluan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang,” katanya.
Kempen SELEKA turut membuka ruang kepada belia untuk menilai semula cara mereka berbelanja dalam era digital yang semakin mencabar.