Shah Alam – Kerajaan negeri Selangor bersetuju mempercepatkan kelulusan bagi permohonan halal kepada usahawan dan syarikat di negeri itu.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi berkata, ia selaras dengan sasaran negeri tersebut menjadi hab halal serantau menjelang 2030.
“Buat pertama kali kerajaan negeri memberi jaminan tempoh kelulusan permohonan halal tidak melebihi 30 hari berbanding 60 hari sebelum ini.
“Semua yang balik daripada program ini mesti mengetahui bahawa di negeri Selangor, halal itu Mudah.
“Mudah ni apa. Mudahnya adalah kita telah meringkas dan memudahkan pensijilan halal,” katanya ketika berucap merasmikan Selangor HalalVibe Fest 2025, di Dataran Karnival, di sini pada Khamis.
Festival anjuran kerajaan negeri Selangor dan Halal International Selangor (HIS) itu merupakan usaha memperkasa ekosistem halal nasional melalui perluasan sijil halal, pembentukan usahawan dan pelaksanaan kerjasama strategik.
Pada majlis sama, tiga memorandum persefahaman disepakati antara HIS dan Yayasan Hijrah Selangor, Universiti Selangor (UNISEL), dan Vital Life Solutions Sdn Bhd.
Dr Mohammad Fahmi berkata, Selangor kekal sebagai pusat tumpuan industri halal negara dengan menempatkan hampir satu pertiga daripada keseluruhan syarikat bersijil di Malaysia.
“Festival ini bukan sekadar program tahunan tetapi platform strategik yang menyatukan industri, akademik, agensi kerajaan dan komuniti,” jelasnya lagi.
Tambahnya, HIS kini giat mencari produk dan jagoan tempatan untuk diperkenalkan ke luar negara.
“Setakat ni kita ada lebih kurang 555 produk yang telah kita kembangkan ke tujuh negara di luar termasuk China, India, Kyrgyzstan, Bangladesh dan juga Kemboja. Kita akan kembangkan lagi, Insya-Allah.
“Industri halal Malaysia diunjurkan akan bernilai 110 bilion US Dollar pada tahun 2030.
“Daripada angka besar tu, 75 peratus dijangkakan akan datang daripada produk-produk F&B, iaitu makanan dan minuman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan usahawan yang menyertai festival tersebut membina jaringan dan menggunakan peluang diberikan untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung yang hadir.
