523 views 3 mins 0 comments

60 Kanak-kanak Gunting Rambut Percuma

In Komuniti
January 16, 2026
Rodziah Ismail meninjau sesi potong rambut percuma kanak-kanak sempena program Back to School anjuran Hello Shah Alam.

SHAH ALAM: Kira-kira 60 kanak-kanak lelaki dan perempuan bersama ibu bapa memanfaatkan Program Potong Rambut Percuma Back To School anjuran platform komuniti Hello Shah Alam di Pusat Pemberdayaan Komuniti S24 pada 10 Januari lepas.

Program tanggungjawab sosial komuniti itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu selain memastikan pelajar tampil kemas dan lebih yakin ke sekolah.

Ketua Wanita KEADILAN Cabang Shah Alam, Fatin Ab Rahim, berkata sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan awal penganjur.

“Pada awalnya kami hanya menyasarkan sekitar 30 peserta, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga kehadiran mencecah lebih 60 orang.

“Ini menunjukkan program kebajikan seperti ini benar-benar diperlukan oleh komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, selain perkhidmatan potong rambut percuma, program berkenaan turut menyediakan pemeriksaan kesihatan asas untuk ibu bapa serta juadah percuma untuk kanak-kanak.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bantuan seperti potong rambut dan pemeriksaan kesihatan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa, terutamanya keluarga yang mempunyai ramai anak,” katanya.

Rodziah Ismail (tengah) dan Fatin Ab Rahim (kiri) menyampaikan beg sekolah serta barang keperluan kepada peserta (kanan) sempena program Back to School.

Sementara itu, Naib Pengerusi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen Malaysia, Rodziah Ismail, berkata usaha menjaga kebajikan masyarakat seharusnya digerakkan bersama oleh komuniti setempat.

“Apabila saya melihat inisiatif yang dibawa oleh komuniti melalui platform Hello Shah Alam, saya merasakan ia satu usaha yang wajar dipuji dan disokong kerana ia bermula daripada kesedaran masyarakat sendiri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun bantuan yang disalurkan tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah kewangan keluarga, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan ibu bapa menjelang musim persekolahan.

“Walaupun kecil, bantuan ini dapat meringankan beban kewangan dan membantu keluarga membuat persiapan sekolah dengan lebih teratur,” katanya.

Ziana Zahudin dari Padang Jawa bersama anaknya Muhammad Luthfi Hadif Mohammad Razali, antara peserta program Back to School anjuran Hello Shah Alam.

Bagi ibu kepada seorang peserta, Ziana Zahudin, program seperti ini amat bermakna buat keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.

“Harga barangan sekolah sekarang memang mahal. 

“Kalau anak seorang mungkin masih boleh urus, tetapi bila anak ramai, program seperti ini memang sangat membantu dan berbaloi untuk kami,” katanya.

Beliau berkata, kos potong rambut di kedai boleh mencecah RM15 bagi seorang anak dan jumlah itu menjadi beban apabila melibatkan lebih daripada seorang anak.

“Bila ada program percuma seperti ini, ia benar-benar meringankan beban kami sebagai ibu bapa,” katanya.

Program yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 3 petang itu terbuka kepada pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun tanpa memerlukan sebarang temu janji, dengan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’. 

Penganjur berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan komuniti.

Sarah Noorman
/ Published posts: 1

Writing with purpose,reporting with love.