453 views 3 mins 0 comments

Keroncong Kasih Catat Kehadiran Penuh, Bukti Tarikan Muzik Tradisional

In Kampus
January 24, 2026
Pemuzik dan penyanyi Keroncong Kasih mempersembahkan muzik tradisional keroncong di UiTM Shah Alam bagi memperkenalkan muzik tradisional itu kepada generasi muda melalui gabungan elemen moden dan tradisional.

SHAH ALAM – Kemunculan pelbagai jalur muzik baharu yang memenuhi selera golongan muda ketika ini menimbulkan persoalan tentang masa depan muzik tradisonal, khususnya keroncong.

Menyedari perkara tersebut, sekumpulan pelajar semester lima Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif menganjurkan sebuah program santai, Keroncong Kasih bagi mengembalikan semula minat generasi muda terhadap seni warisan masyarakat Melayu itu.

Menurut pengarah projek, Nurul Ezzety Abd Aziz, persembahan tersebut memberi pendedahan tentang muzik tradisional keroncong yang semakin kurang mendapat perhatian orang ramai.

“Kami juga nak memperluaskan lagi industri keroncong supaya ramai mendapat pendedahan kepada keroncong yang merupakan salah satu muzik tradisional Malaysia selain zapin dan joget,” katanya.

Persembahan Keroncong Kasih anjuran Fakulti Muzik UiTM mendapat sambutan hangat meraih kehadiran lebih 80 penonton sehingga memenuhi ruang persembahan di Recital Hall Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam.

Persembahan ini turut menampilkan bakat pelajar semester lima fakulti tersebut termasuk penyanyi, pemuzik instrumen, dan hos, sebagai usaha memperkenalkan muzik tradisional kepada generasi muda secara interaktif dan menarik.

Pendedahan terhadap muzik keroncong diberikan melalui penggunaan lagu moden yang diolah dengan elemen keroncong bagi menarik minat generasi muda.

“Mungkin dengan menggunakan lagu yang moden kita dapat menarik minat generasi muda untuk meneroka muzik tradisional kita”, kata Wirda Viviana Zairi yang merupakan salah seorang penyanyi serta hos bagi Keroncong Kasih.

Persembahan Keroncong Kasih di UiTM dihidupkan dengan persembahan muzik keroncong oleh pelajar Fakulti Muzik semasa penganjuran program tersebut.

Dari pandangan pemuzik cak, Muhammad Faiz Harithah Abdullah, Keroncong Kasih merupakan persembahan keroncong pertama yang dianjurkan oleh UiTM, dan beliau berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada persembahan unik ini.

“Kami dapat membuat sesuatu yang unik dan sepanjang saya belajar dekat sini tak pernah lagi saya nampak orang buat persembahan keroncong jadi saya amatlah berbangga dapat menyertai keroncong kasih ni”, ujarnya.

Persembahan ini turut diiringi alunan seruling, biola, gitar, cak, cuk, selo, bes serta alat perkusi yang mencipta suasana keroncong yang merdu dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

“Saya amat kagum dengan persembahan ini, semua pemuzik penyanyi serta kru yang terlibat telah melakukan kerja yang hebat dan saya menikmati setiap detik persembahan,” kata Amal Fathini Muzaffar Riza yang merupakan salah seorang penonton yang hadir.

Barisan pemuzik mempersembahkan muzik keroncong semasa program Keroncong Kasih di dewan recital UiTM.

Persembahan ini turut berperanan sebagai medium pendidikan dan pendedahan mengenai sejarah serta kepentingan muzik keroncong dalam konteks warisan budaya Malaysia.Secara keseluruhannya, Keroncong Kasih mencerminkan kejayaan Fakulti Muzik UiTM dalam menghubungkan muzik tradisional dengan minat generasi muda serta memperluaskan industri keroncong di negara ini.

Yasmin Bahari
/ Published posts: 4

Fakta diperjuang, Auta dihalang