SHAH ALAM – Pelancaran visi dan misi baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijangka akan mengukuhkan lagi peranan institusi tersebut sebagai pemain utama sistem pendidikan tinggi negara, selain bersiap siaga menghadapi cabaran semasa global.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr. Shahrin Sahib, berkata langkah tersebut bukan sekadar proses penjenamaan semula, sebaliknya titik perubahan penting dalam memastikan UiTM kekal relevan, berdaya tahan dan inklusif mendepani arus perkembangan dunia pendidikan masa kini.
“Visi dan misi baharu ini bukan hanya slogan, tetapi panduan strategik yang akan membentuk arah perjalanan UiTM dalam dekad-dekad akan datang.
“Persekitaran global kini bergerak terlalu pantas sebab itu UiTM perlu memperkukuh keupayaan dalaman,dari kurikulum dan penyelidikan, hinggalah pembangunan nilai agar terus menjadi institusi pilihan serta mampu melahirkan profesional Bumiputera yang benar-benar kompetitif.
“UiTM mesti bergerak dengan semangat baharu, bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang akademik, tetapi juga insan yang berintegriti, beretika dan berjiwa besar,” katanya pada Majlis Pelancaran Misi, Visi, Falsafah dan Objektif Baharu UiTM di Dewan Konsert Seri Budiman, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, pengurusan kanan dan kakitangan universiti tersebut.
Keseluruhan inisiatif berkenaan akan diselaraskan di bawah Pelan Strategik UiTM 2026–2030, yang bakal menjadi panduan utama dalam mengangkat institusi pendidikan tinggi terbesar di Malaysia itu sebagai universiti terkemuka di rantau Asia dan seterusnya di peringkat global.
Pelan strategik itu juga dijangka memperkukuh keupayaan universiti untuk terus memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan negara serta memperkasa ekosistem ilmu berasaskan nilai, integriti dan kemampanan jangka panjang.
Sementara itu, falsafah universiti yang diperbaharui menegaskan kepentingan membentuk insan yang seimbang dari segi intelek, rohani dan moral, selaras dengan aspirasi UiTM untuk menjadi institusi yang bukan sahaja mendidik, tetapi turut membentuk watak dan nilai bangsa.
Turut diperkenalkan 10 objektif utama sebagai teras pelaksanaan hala tuju baharu ini, termasuk memperluas akses pendidikan inklusif, meningkatkan kebolehpasaran graduan, memperkukuh penyelidikan, memperluas jaringan antarabangsa serta memastikan tadbir urus yang telus dan berintegriti.
Mengulas lanjut, Dr. Shahrin, berkata perubahan yang dilaksanakan tersebut penting bagi memperkukuh falsafah universiti supaya lebih bersifat sejagat tanpa menjejaskan asas perjuangan asal institusi tersebut.
“Kita tidak meninggalkan akar kita, tetapi menyesuaikan hala tuju UiTM dengan realiti semasa.
“Falsafah baharu ini menggabungkan nilai keilmuan dan kemanusiaan yang menjadi tunjang identiti UiTM,” tegasnya lagi.
