402 views 2 mins 0 comments

Mahasiswa New Zealand kagum kemudahan, kualiti pengajian komunikasi UiTM

In Berita, Kampus
November 06, 2024
Seramai lapan orang pelajar komunikasi dari Auckland University of Technology (AUT) mengelolakan subprogram di bawah Festival Komunikasi Media (COMMED) di UiTM Shah Alam.

SHAH ALAM- Kemudahan infrastruktur terkini dan tenaga pengajar yang bertaraf antarabangsa melahirkan rasa kagum sekumpulan pelajar antarabangsa dari Auckland University of Technology (AUT), New Zealand terhadap kualiti pendidikan bidang komunikasi yang ditawarkan di universiti tempatan, khususnya Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menjelaskan perkara tersebut, pelajar program penyiaran AUT, Joel Bennett, 20,  berkata dia tidak menyangka bahawa kemudahan peralatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terdapat di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM adalah setanding dengan apa yang ada di universitinya.

Katanya, pengalaman semasa menghadiri salah satu sesi kuliah berkaitan kursus penyiaran ketika berada di fakulti tersebut memberinya pengalaman berharga tentang pengendalian peralatan produksi yang bersesuaian dengan keperluan industri.   

“Saya kagum melihat teknologi komunikasi seperti peralatan penyiaran yang serba lengkap di Studio TV UiTM

“Ini membuktikan bahawa Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang komunikasi,” tambahnya lagi.

Seorang lagi pelajar AUT, Olivia Cowie, 21, yang mengikuti pengajian perhubungan awam dan undang-undang menyifatkan kaedah pengajaran di UiTM adalah seronok kerana mementingkan interasksi di antara pelajar dan pensyarah. 

“Sesi pembelajaran di New Zealand agak statik manakala di sini para pensyarah lebih terbuka dengan pelajar, dan ini mewujudkan persekitaran yang selesa.

“Saya berasa sangat gembira kerana dapat menonjolkan diri saya di sini serta mendapat  layanan yang sangat baik oleh semua orang,” jelasnya.

Kedua-dua pelajar tersebut adalah sebahagian daripada kumpulan pelajar AUT yang sedang mengikuti Program Auckland University of Technology Study Tour to Malaysia.

Selain mengikuti aktiviti akademi yang dikendalikan pensyarah FKPM, peserta program tersebut juga turut menyertai aktiviti kebudayaan dan lawatan ke beberapa lokasi menarik di ibu negara.

Solehah Azizan
/ Published posts: 6

Menginspirasi perubahan untuk dunia yang lebih baik dengan penulisan.