384 views 50 secs 0 comments

Agong nasihat graduan tidak terlalu memilih pekerjaan, hormati ibu bapa

In Berita, Kampus
November 13, 2024
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menganugerahkan skrol kepada graduan Doktor Falsafah pada Istiadat Konvokesyen kali ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor, hari ini. - (FOTO - OFFICIALSULTANIBRAHIM)

SHAH ALAM, 13 Nov – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan para graduan agar tidak terlalu memilih pekerjaan dan mengamalkan budaya malas dalam mencari pekerjaan berikutan persaingan sengit pekerja asing di negara ini.

Titah baginda, graduan hendaklah mengambil peluang yang ditawarkan pelbagai sektor pekerjaan yang ada di negara ini.

“Jika terlalu memilih, graduan akan kekal menjadi penganggur terhormat, sementara pekerja asing akan merebut peluang tersebut,” titah baginda.

Tegas Sultan Ibrahim, golongan tersebut juga perlu menolak sikap malas dan menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri.

“Adalah penting bagi generasi muda untuk menolak sikap buruk ini dan berusaha untuk membangunkan diri mereka dengan semangat yang tinggi.

“Budaya sikap bergantung hidup boleh membunuh keyakinan diri serta semangat untuk maju. Jika ia dibiarkan, ia boleh merencatkan usaha negara untuk terus maju,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen kali ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor, di sini, hari ini.

Turut mencemar duli, Tuanku Permaisuri Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar dan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. 

Tunku Azizah Aminah Maimunah turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif pada istiadat tersebut.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan graduan supaya bersyukur dan menghargai peranan ibu bapa mereka.

Jelas baginda, tanpa doa dan sokongan ibu bapa mereka tidak akan berada di dunia ini dan mencapai kejayaan yang diimpikan.

Afiqah Abas
/ Published posts: 4

Melaporkan Fakta, Bukan Rekaan