2166 views 3 mins 0 comments

Crewni Tawar Latihan Percuma, Sasar Lahir Atlet Maraton Dalam Komuniti

In Berita, Sukan
December 04, 2024
Hasil daripada latihan percuma tersebut, beberapa pelari berjaya dilahirkan dan mula menunjukkan kejayaan di beberapa acara yang disertai. (Gambar: Instagram rasmi Crewni)

SHAH ALAM – Kelab komuniti larian, Crewni menawarkan latihan asas percuma kepada orang ramai yang berminat menceburkan diri dalam sukan maraton, sekaligus mencungkil bakat baru dalam acara tersebut.

Pengerusinya, Asyraf Jebat berkata, idea tersebut tercetus pada tahun lalu ketika dia dan beberapa rakannya melakukan persiapan bagi menyertai pertandingan larian anjuran sebuah universiti tempatan.

“Pada ketika itu, hanya kami berlapan sahaja yang berlatih bersama untuk menyertai pertandingan itu. Kami berlatih bersama perancangan menu latihan yang disediakan sendiri dan saya rasa perlunya untuk berkongsi bersama komuniti.

“Sehubungan itu, kami telah menawarkan latihan larian secara percuma kepada penduduk sekitar Shah Alam yang diadakan di Laman Taichi, Tasik Seksyen 7, Shah Alam,” katanya ketika ditemubual Shah Alam Times, di sini.

Mengulas lanjut, Asyraf memberitahu bahawa sambutan latihan yang diadakan pada pukul 8 malam setiap hari Selasa itu adalah sangat menggalakkan dengan penambahan peserta setiap minggu.

“Untuk menarik penyertaan orang ramai, kami menggunakan media sosial sebagai saluran maklumat berkaitan aktiviti yang dijalankan.

“Setakat ini, kami berjaya menarik penyertaan komuniti yang baru berjinak-jinak dengan acara larian dan mereka yang ingin menyertai pertandingan larian,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, latihan yang disediakan mengambil kira tahap dan kemampuan pelatih bagi memastikan mereka mencapai tempo larian yang dikehendaki.

Hasil daripada latihan percuma tersebut, beberapa pelari berjaya dilahirkan dan mula menunjukkan kejayaan di beberapa acara yang disertai.

Muhammad Ikmal Nurhakeem, 23, yang telah hampir setahun mengikuti latihan ini berkata, bimbingan yang diberikan Crewni telah membantu meningkatkan kemahiran dan prestasinya.

“Dengan mengikuti latihan yang disediakan, saya telah berjaya mencipta rekod yang baik untuk larian sejauh 42.2 kilometer dalam masa 3 jam 43 minit dalam acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024.

“Saya juga kini sedang fokus pada latihan untuk menyiapkan diri saya untuk acara larian yang seterusnya pada bulan Disember iaitu Langkawi International Half Marathon 2024,” katanya.

Seorang lagi pelatih, Liyana Abdullah, 34, yang menyertai latihan tersebut sejak empat bulan lalu berkata, keinginan beliau untuk berlari dalam suasana yang ramai menjadi pendorong kepadanya mencuba sukan itu.

“Kalau peserta itu betul-betul mengikuti bimbingan yang diberikan, memang anda akan dapat capai target dalam sebarang acara larian.

“Saya berjaya mencipta rekod peribadi untuk larian sejauh 21 kilometer dengan mencatat masa 2 jam 55 minit semasa menyertai Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024.

“Perancangan saya yang seterusnya adalah untuk fokus kepada latihan yang disediakan bagi menyertai Penang Bridge International Marathon 2024 pada bulan Disember ini,” ujarnya.

Sharifah Shazfika
/ Published posts: 2

Mengungkap Cerita, Mencipta Kesedaran Melalui Penulisan