1671 views 3 mins 0 comments

MBSA Berjaya Selamatkan 7.7 tan Juadah Di Bazar Ramadan Sebelum Jadi Sampah

In Berita, Komuniti
March 28, 2025
Sukarelawan mengedarkan risalah dan memberi penerangan kepada peniaga sebagai tanda pemakluman program di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam Seksyen 13.

SHAH ALAM – Sebanyak 7,717 kilogram lebihan makanan dan minuman yang tidak habis dijual di lima bazar Ramadan di sini berjaya diselamatkan menerusi program MBSA MySaveFood@ Bazar Ramadan 2025.

Para peniaga menyambut baik program MySaveFood ini dengan memberikan lebihan makanan atau minuman dari gerai mereka.

Penyelaras Program, Fazliena Ahmad berkata, inisiatif tersebut telah berlangsung selama 12 hari bermula 4 Mac sehingga 21 Mac di mana hari pengumpulan lebihan makanan dan minuman dilaksanakan pada setiap hari bekerja iaitu pada Isnin sehingga Jumaat.

“Sekitar 7:40 malam selepas waktu berbuka, sukarelawan yang bertugas mula untuk mengutip lebihan makanan dan minuman dari gerai-gerai yang ada dan terus dibawa ke khemah MBSA untuk ditimbang dan direkodkan. Jika perlu, makanan akan dibungkus semula dan dilabel.

“Bagi menjamin kualiti pula, ia perlu dihantar dan diagih segera kepada penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan seperti para pelajar di institusi pengajian tinggi, surau, masjid, pangsapuri kos rendah dan beberapa lokasi lain yang telah dikenal pasti dengan lebih awal,” kata Fazliena ketika ditemui menyertai sukarelawan membungkus semula makanan yang diterima daripada gerai peniaga.

Lima bazar Ramadan yang dipilih MBSA pada tahun ini adalah bazar Ramadan Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17, Seksyen 19, Seksyen 28 dan Denai Alam Seksyen U16 di mana terdapat penambahan dua buah lagi lokasi berbanding tahun sebelumnya yang hanya melibatkan tiga buah bazar.

Para petugas di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam Seksyen 13.
Para petugas di Bazar Ramadan Seksyen 17.

Mengulas lanjut Fazliena berkata, terdapat pelbagai jenis makanan disumbangkan peniaga bazar Ramadan yang mengambil bahagian sepanjang program tersebut berlangsung.

“Antara lebihan makanan dan minuman yang paling banyak diterima adalah seperti pelbagai jenis nasi, lauk-pauk, kuih-muih, bubur dan air balang.

“Penganjuran pada kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama daripada peniaga bazar di mana ada antara mereka yang menghantar sendiri lebihan makanan dan minuman ke khemah MySaveFood@ Bazar Ramadan 2025,” tambahnya lagi.

Usaha ini merupakan antara inisiatif proaktif MBSA bagi mengelakkan berlakunya pembaziran makanan di Bazar Ramadan selain mengurangkan penghantaran sisa makanan ke tapak pelupusan.

Dalam masa yang sama, menurut Fazliena, program tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta terlibat membantu golongan kurang berkemampuan.

Untuk rekod, acara berkonsepkan kesukarelawanan ini telah memasuki tahun kelima penganjurannya dan terus mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta sektor swasta.

Pada tahun ini, Pertubuhan Pemuda IKRAM Malaysia, Briged Sukarelawan UiTM Shah Alam, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) serta orang awam antara yang turut serta dalam membantu kelancaran program setiap hari.

Berikutan sambutan memberangsangkan yang diterima daripada majoriti peniaga bazar, pihak MBSA berhasrat untuk memperluaskan lagi program tersebut ke hotel-hotel sekitar Shah Alam pada pada masa akan datang.

Syafi Fauzan
/ Published posts: 7

Berita itu nyawa, fakta itu senjata. Tugasku untuk memastikan masyarakat tidak buta.