507 views 59 secs 0 comments

Pelajar Teruja, Bersemangat Pamer Jalur Gemilang Pada Uniform Sekolah

In Berita, Komuniti
April 23, 2025
Pelajar SMK Seksyen 7, Shah Alam bangga mempamerkan lencana Jalur Gemilang yang dipakai bermula semalam

SHAH ALAM – Inisiatif kerajaan memperkenalkan pemakaian lencana jalur gemilang pada pakaian seragam sekolah mengundang rasa teruja dan bersemangat dalam kalangan pelajar.

Beberapa pelajar yang ditemui berkata, pendekatan tersebut merupakan sebuah pengalaman baharu buat mereka dan memberikan motivasi untuk menjadi warganegara yang berjiwa patriotik.

Menurut pelajar SMK Seksyen 7, Shah Alam, An-Nur Zara Muhammad Ruzainizam, 15, pemakaian lencana tersebut merupakan pengalaman baharu yang memberikan motivasi kepadanya untuk menjadi warganegara yang berjiwa patriotik.

“Bila pakai lencana ni, saya rasa lebih semangat untuk jadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan cinta akan negara ,” katanya.

Bagi Muhammad Fareeq Mikhael Mohd Fadzil, 15, dia pada awalnya terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemakaian lencana tersebut.

Namun, setelah memakainya, timbul rasa bangga dalam dirinya kerana dapat membawa simbol kebangsaan ke sekolah setiap hari.

“Pada mulanya saya rasa pelik dan tertanya-tanya kenapa perlu pakai setiap hari. Tapi bila dah mula pakai, saya sedar ia satu lambang yang besar, dan saya bangga sebab dapat wakili Jalur Gemilang sebagai pelajar Malaysia,” ujarnya.

Bagi waris pelajar, Amir Sofi Abd Nasir, 19, menyifatkan usaha ini berjaya menyerlahkan kebanggaan terhadap simbol negara.

“Saya rasa ini satu idea yang baik untuk kita lebih menghargai dan menghayati Jalur Gemilang. Ia menampakkan bertapa megah dan bermaknanya bendera negara kita,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan medianya memberitahu, setiap murid bakal menerima dua unit lencana secara percuma dan pemakaiannya berkuatkuasa mulai 21 April 2025.

Inisiatif  tersebut melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Siti Sarah Abu Kassim
/ Published posts: 2

Mata pada dunia, hati pada cerita.